0

Kalam Ilmu Allah

Posted by ilham_syifa' on 10:56 AM

Ilmu itu cahaya daripada Allah,

Memancar keluar melahirkan amal,

Memancar ke dalam menzahirkan iman.

Bagai alam tanpa sinar mentari, gelap pekat hilanglah indah, sirnalah seri, begitulah hati tanpa ilmu, kontanglah ia daripada petunjuk ILAHI. Buta mata tanpa cahaya, buta hati tanpa ilmu.

“Ilmu itu cahaya, jahil itu kegelapan..”

Amal tanpa ilmu binasa. Si jahil akan derhaka dalam taat, tertipu dalam ibadat. Sedangkan orang berilmu dapat beribadat dalam tidurnya.

Bak kata Prof Dr. HAMKA,

“Mati jasad kerana tiada roh, mati roh kerana tiada ilmu, mati ilmu kerana tiada amal, mati amal kerana tiada ikhlas”

Ilmu adalah pelita hati, memancar cahayanya ke dalam menambah iman, memancar ke luar membuahkan amal. Ilmu itu penghias lidah. Orang berilmu bila bersuara, kata-katanya indah, penuh hikmah. Diamnya fikir, suaranya zikir.

Pencari ilmu bagaikan mujahid di medan jihad, tinta ulama setimbang darah syuhada. Jika pedang mujahid memancung kemungkaran dan kebatilan, pena ulama membanteras kejahilan!

Saidina Ali pernah berkata,

“Pena itu lebih tajam daripada mata pedang”

Si miskin menjadi mulia dengan ilmu, si kaya jatuh kerana ketandusan ilmu. Harta akan habis jika dibelanjakan tetapi ilmu semakin bertambah jika diamalkan.

Seseorang akan tetap menjadi alim selama dia terus menerus belajar. Apabila dia telah tertipu dalam sangkaan bahawa dia telah pandai, sedang hakikatnya dia adalah bodoh.

Setitis ilmu Allah adalah lautan pada kedangkalan otak manusia. Jika diraut pohon di seluruh benua, dijadikan tinta, tidak akan terdaya kita menulis kalam tuhan. Semakin dibincangkan, semakin dalam pengertian. Semakin dibongkar rahsia, semakin berliku misterinya.

Imam Syafie berkata,

“Semakin bertambah ilmuku, terasa semakin banyak yang aku tidak tahu...”

Burung-burung di awan, pasir-pasir di persisiran pantai dan di gurun yang gersang, ikan dan siput yang berjuta banyaknya, unggas yang menghuni rimba, turut serta mendoakan insan bergelar penuntut ilmu. Kerana langkahnya, menuju madrasah ilmu, ertinya menuju keredhaan Allah.

Imam Al-Ghazali pula berkata,

“Gunung ilmu adalah pendakian pertama seorang hamba menuju TUHANNYA..”

Tatkala menyingkap pula sejarah silam utusan-Nya, wahyu pertama diturunkan berbunyi,

“IQRA’...” yang membawa maksud, bacalah!

Tapi, mengapa wahyu menyuruh Rasulullah saw membaca sedangkan baginda seorang yang ummi (tidak tahu membaca)?

Hakikatnya, 'baca' di sini bukan bermaksud membaca apa yang bertulis, tetapi apa yang tidak bertulis. Perkara yang tidak bertulis adalah yang tersirat jauh lebih banyak, yang tidak semua manusia mampu 'membacanya'.

Maka, ayat lengkap wahyu tersebut ialah "اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ" yang bermaksud:

"Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan".

Jadi, ilmu yang kita ada semestinya perlu sampai kepada hakikat ketuhanan. Kalau belum, maka tidak sempurnalah ilmu itu.

Rasulullah S.A.W. telah bersabda :
العلم علمان : فعلم في القلب فذالك هو العلم النافع ؛ وعلم على السان فذالك حجة الله على ابن آدم

`Ilmu itu ada dua jenis : Ilmu yang ada dalam hati (disertakan amal), maka itulah yang bermanfaat; dan ilmu (yang hanya) berada di atas lidah (tanpa diamal), maka itulah ilmu (yang menjadi) hujjah Allah (untuk mendakwa kesalahan) terhadap anak Adam.’
- [Riwayat Ibnu Syaibah dan Al Khatib]

Kata Imam Ghazali RahimahulLah Ta’ala :

`Ilmu yang memberi manfaat itu ialah ilmu yang menambahkan perasaan takutmu kepada Allah;
(ilmu) yang menambahkan celik mata hatimu terhadap keaiban-keaiban dirimu;
(ilmu) yang menambahkan ibdahmu kepada Tuhanmu ‘Azza wa Jalla dengan sebab makrifatmu kepadaNya;
(ilmu) yang mengurangkan gemar kasihmu kepada dunia;
(ilmu) yang menambahkan gemar kasihmu kepada akhirat;
(ilmu) yang membukakan pandangan mata hatimu terhadap kebinasaan-kebinasaan segala amalmu sehingga kamu dapat memeliharakan dirimu daripadanya;
(ilmu) yang menampakkan kepada kamu segala perdayaan syaithan dan tipuannya’.
[Bidayatul Hidayah]

Maka, bacalah dengan nama tuhanMu yang menciptakan. Atas niat kerana Nya semata.

Bacalah dengan hati yang tawaduk, dengan rasa rendah diri akan keaiban-keaiban diri.

Ilmu umpama air yang bertakung yang hanya bertakung di tempat yang rendah.

Maka, selamat menuntut ilmu buat semua!

p/s : esok kembali ke india untuk melangkah ke tahun dua. Sedih? Seharusnya sedih tidak hadir tapi rindu itu harus dipimpinkan sekali andai menuntut ilmu benar kerana Allah. Semoga melangkah dengan azam, semangat dan kekuatan yang baru. Ma’attaufiq Wannajah, Ilham syifa’

0

Hari berganti hari...

Posted by ilham_syifa' on 1:18 PM
Apakah kita ingin terus menerus menjadi budak-budak? Ohh.. kita menjadi budak-budak terlalu lama...

Hari berganti hari.
Usia semakin bertambah. Tuntasnya, semakin dekat pada detik kematian yang sudah dicoretkan dalam nukilan takdir Ilahi. Anehnya, ketika beban semakin berat, tenaga dan upaya pula semakin sedikit.. Kita semakin penat. Apakah pecutan diri menuju takwa semakin goyah atau semakin gagah? Tepuk dada, tanyalah iman...

11 September!
Tarikh yang mudah diingati kerana satu sejarah terbesar dalam lipatan sejarah dunia apatah lagi melibatkan maruah Islam itu sendiri, maka tidak mustahil saya mendapat begitu banyak ucapan 'selamat hari jadi' dari teman-teman rapat melalui hp, facebook, emel, yahoo groups, ym dan skype.

Tika tepat jam 12 malam, saya mengembara dalam satu perjalanan yang sunyi. Terlalu sunyi, sehingga degup hati pun dapat dirasakan. Nafas dihela perlahan-lahan. Mencari makna pencapaian dan kejayaan. Apakah sudah dalam genggaman?

Kemudian, diselami peranan saya sebagai anak buat abah dan ummi, anak solehah kah saya? Sebagai adik dan kakak, apakah layanan saya pada keluarga penuh kasih sayang? Sebagai sahabat, adakah saya sentiasa bersama mereka dalam susah dan senang? Apakah saya membawa sekali hati-hati orang sekeliling mengembara menjejaki cinta hakiki? Biarlah jawapan dicari melalui persidangan dalam mahkamah hati ini...

Sudah lebih suku abad saya bernafas dan melangkah sebagai hamba di atas bumi milik Ilahi. Namun, persoalan apakah saya benar-benar menghela nafas dalam jiwa hamba kembali mencengkam di jiwa. Entah berapa kali langkah tersasar. Entah berjuta kali hati ni lalai dalam mematuhi aturan Ilahi. Entah beribu kali pula hati curang dalam mengejar cinta hakiki dan lebih terpandang cinta yang fana.

Meskipun begitu, selalu sahaja Allah memberi ruang untuk saya kembali mencari haluan yang haq. Kerap kali juga hati merintih atas segala dosa dan lemah dalam mentertibkan iman dalam diri. Pintu keampunanNya jauh lebih terbuka dari pintu kemurkaanNya. Maka, jangan menyerah untuk bertaubat dalam erti benar-benar taubat.

Hati tertusuk dengan kata-kata Saidina Ali,
"Manusia semua tidur, bila mati baru mereka terjaga"

Betapa kata-kata itu menusuk ke lubuk hati. Merobek-robek sisa kegembiran yang masih berbaki.

Berbicara tentang usia, jangan pernah sisihkan tentang kematangan. Kematangan semakin lama semakin diragut dalam kalangan remaja dan pemuda. Kematangan yang pudar bisa sahaja meragut nilai tanggungjawab dalam diri kita. Maka, ia bakal menggugat tampuk kepimpinan negara.

Teringat pula kata-kata Imam Al Ghazali,
"Jika ingin melihat masa depan negara, maka lihatlah remaja masa kini.."

Usah menuding pada mana-mana pihak, saya sendiri masih terasa 'manja' dan 'mengada-ngada' dalam lingkungan 'comfort zone' ini. Tatkala zaman beralih zaman, semakin jelas tanpa hijab menghalang, betapa nilai kematangan itu jauh dari diri remaja. Oh, tidak sekali-kali saya katakan saya cukup matang dalam menjalani kehidupan sebagai insan sudah mencecah 20-an ini. Jika itu kenyataan yang berlari dari bibir ini, pasti dicanggah oleh ahli keluarga dan teman rapat saya. Saya sendiri berusaha untuk mematangkan fikiran agar sedar bahawa tanggungjawab yang perlu digalasi menuntut kematangan dalam pemikiran dan pelakuan...

Mari kita meneliti sejarah agar sedar hakikat yang sebenarnya, agar tahu di mana letak duduk diri kita.

USAMAH BIN ZAID, diangkat menjadi general mengepalai tentera menentang Romawi ketika berusia 18 tahun. Menambah celik mata, pada usia 19 tahun, dia berjaya menewaskan Romawi.

SULTAN MUHAMMED AL FATEH, berjaya menewaskan Konstantinopel pada usia 23 tahun. Beliau diangkat menjadi sultan hanya ketika berusia belasan tahun.

HASAN AL BANNA, pada usia 23 tahun sudah boleh menubuhkan satu jemaah muslimin terbesar dalam sejarah dunia Islam dengan menubuhkan Ikhwanul Muslimin tatkala sedar betapa segala sosial semakin bermaharajalela bermula setelah kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyah.

UMAIR bin ABI WAQAS, anak muda yang punya keinginannya untuk mengikuti dalam pasukan tentera dalam Perang Badar namun dihalang oleh Rasulullah dan Saidina Abu Bakr kerana usianya yang masih muda.

Tatkala meneliti kisah di atas mujahid muda dengan sumbangan yang besar pada umat, kembali menikam diri dengan persoalan, matangkah saya?? Ahhh...Malu sendiri untuk dibandingkan...

Wallu'alam...

p/s : kepada sahabat di luar sana, yang sudah pun mencecah 21 tahun, jangan lupa tanggungjawab anda sebagai pengundi! Masa depan negara di tangan anda!

*Yeay, dah lama menanti untuk mendaftarkan diri sebagai pengundi! Tak sabar nak ada pilihan raya! *

0

Seindah Mawar Berduri...

Posted by ilham_syifa' on 7:27 AM
Biar dirimu
ibarat mawar berduri;
cantik anggun menawan hati,
Namun,
tetap terpelihara
dek duri yang memagari

Sesungguhnya kejadianmu terlalu indah tercipta sehingga manis madah berbicara tidak mungkin bisa mengungkapinya. Tercipta daripada tulang lelaki bergelar Adam yang bengkok untuk dilindungi dan disayangi, bukan dari kepala untuk dijunjung bahkan dipuja, bukannya diciptakan dari kaki untuk dipijak dan dijadikan hamba sahaya.

Lantaran daripada keindahan ciptaanmu itu, kau umpama sekuntum bunga yang harum aromanya bisa saja menarik si kumbang untuk terus mendekatimu. Apakah dengan murah dan semudah itu ingin kau menyerah diri pada sang kumbang??

Renungkanlah pada keindahan mawar yang unggul terjaga berpagar duri sebagai bentengnya. Dari kejauhan keharumannya mencuri perhatian, kilauan warnanya yang memancar penuh tarikan.

Namun, dek kerana pagaran duri yang berbisa, sang kumbang tertunduk kagum terhadap keindahan yang terjaga hinggakan ia berfikir bukan sekali bahkan berjuta kali sebelum mendekatinya.

Usah berselindung dari hakikat jelas tiada pelindung, hakikat kejadian dirimu menjadi pelemah keimanan lelaki. Tekunilah sejarah peradaban dunia, berapa ramai tokoh hebat mampu tewas hanya dengan godaan mawar ini.

Seandainya pakaian malu kau tinggalkan daripada selilit tubuhmu, dan perbatasan aurat kau dipandang sembarangan, jadilah kau hanya sekuntum bunga yang indah tetapi sayang tidak berduri. Lantas, jangan merengek andai mahkota ‘SI MAWAR BERDURI’ tidak layak menjadi milikmu.

Sesungguhnya utusan Allah ada mengatakan tentang bahaya dirimu.

“Tidak ada fitnah yang lebih besar setelah wafatku selain daripada fitnah yang berpunca daripada wanita”.

Adakah kau mahu menjadi penyebab terhadap terhumbannya lelaki ke neraka?

Ingatlah bahawa ciri-ciri wanita solehah ialah dia tidak melihat lelaki dan lelaki tidak melihatnya kecuali atas urusan yang diizinkan Wanita solehah itu tidak berbicara tentang lelaki malah lelaki tidak berbicara tentangnya. Ohhhh...Jauh sekali untuk mengejar gelaran solehah itu..

Sesuatu yang tertutup itu lebih indah dan berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah. Alangkah indahnya jika kau memelihara keindahan dirimu sebagai hadiah yang kudus, suci, mahal dan berharga buat kumbang terpilih yang dijanjikan Allah buatmu. Sesungguhnya wanita solehah pasti menjadi idaman setiap insan bernama ADAM!!!

“Allahu Allah, peganglah hati-hati kami kaum hawa yang lemah ini. Jangan mudah kami mengisi hati dengan cinta yang jelas bersuluh kepalsuannya. Tundukkan kami pada hanya yang kau taqdirkan layak buat kami. Andai tidak bisa bertemu di dunia fana ini, temukan kami di taman firdausimu. Ya Allah, sesungguhnya hati kami ini biarlah bertapak cinta terhadapMu dahulu. Bentukkan kami menjadi yang solehah, agar bisa menjadi penghias syurgamu dan menjadi bidadari indah pelengkap lelaki soleh di taman syurga indahMu. Amin....”

p/s : Tatkala hati nurani bergelar hawa berbicara di malam hari. Setulus peringatan buat diri moga selamanya berduri, peringatan juga buat semua yang bergelar HAWA moga sentiasa memagari duri di sekelilingmu.

0

Sekadar untuk membuka mata...

Posted by ilham_syifa' on 1:33 AM
Sampai kapan baru mata terbuka melihat dunia tanpa hijab yang terhalang

Selalu benar orang berkata, menjadi pelajar perubatan, maka ilmunya sekadar ilmu perubatan! Dunia sekadar pada dunia perubatan. Terhijab seketika dengan keadaan sekeliling. Tidak pantas saya menyerahkan jari telunjuk pada siapa-siapa, cukup sekadar menuding jari pada diri sendiri.

Sampai kapan baru mata terbuka melihat dunia tanpa hijab yang menghalang. Terdampar asing dalam dunia perubatan, jangan sekadar bernoktahkan pada ilmu perubatan. Terlalu luas bumi Ilahi untuk diteroka, menuntut pemahaman yang tinggi buat pelajar yang sudah tahu cemerlang akademiknya.

Mudah sungguh melempar kata, pelajar aliran sains ini pandai-pandai belaka, maka dijulang pelajar-pelajar ini tanpa bicara. Andai ada sahaja pelajar cemerlang, ingin menceburi bukan bidang sains seperti kejuruteraan, kedoktoran mahupun seangkatan dengannya, pantas sahaja dihalang. Sia-sia menjadi cemerlang akademik katanya.

Bagi pelajar aliran kemanusiaan, dipandang rendah sedang mereka menjadi pemerintah negara. Seharusnya, pelajar-pelajar cemerlang perlu ada yang terjun dalam bidang pengurusan dan kehakiman agar pemerintah negara bukan pada yang cetek aqalnya. Tatkala negara bercelaru dengan isu remeh temeh, salahkan diri yang mudah menghakimi sesuatu tanpa bijaksana.

Doktor itu terlalu sibuk dengan dunia kedoktorannya. Jurutera itu terlalu sibuk dengan dunianya.

Maka, siapa yang tinggal untuk menerajui pemerintahan negara? Golongan-golongan yang kurang cemerlang yang terpaksa mengambil bidang sains kemanusiaan ini yang menguasai carta organisasi pemerintahan negara.

Usah terlalu mementingkan diri, hanya berfikir hal diri semata! Kita sudah dewasa, berlagaklah seperti orang dewasa. Jangan menjadi budak-budak terlalu lama. Banggakah kita menjadi pengikut budaya hedonisme, sedang tahu peradaban barat itu bukan untuk dipuja?

Buka mata, buka minda! Jangan hingga ada yang bertanya tentang ilmu perubatan, bisa sahaja berbicara tanpa noktah, namun tatkala disogok dengan hal ehwal dunia, diam tiada bicara. Jangan menjadi begitu cetek aqal kita. Sungguh, peringatan buat diri sendiri! Noktah!

Bila mana berbicara tentang Islam pula, apakah Islam itu milik orang Melayu semata?

Seantero negara begitu hangat berbahas isu muslim mendoakan non muslim, non muslim menjejakkan kaki ke masjid, dan dahulu kala, pembakaran gereja serta penggunaan nama Allah.. Entah, isu terhangat di atas itu muncul tatkala bulan Ramadhan menjengah tiba. Bulan Ramadhan, yang diharap ketenangan namun yang hadir dengan menghela lelah.. Tidak saya fahami..

Ada pula di mana, UMNO berhujah YB Serdang tidak boleh bagi tazkirah kerana bukan Islam dan tidak menutup aurat, tapi takkanlah Tok Guru Nik Aziz, Dato' Dr Harun Din dilarang memberi tazkirah sekali? Bukankah mereka Islam dan menutup aurat? Haih...Come on lah..

Semakin sukar untuk difahami...

p/s : bagi yang kurang mengerti post saya ini, maaf! Mohon dibaca dengan benar-benar ketajaman aqal agar mengerti yang tersirat lebih dari yang tersurat. Di saat diri terlalu bosan meneliti dada akhbar, berita di tanah air yang adakalanya terlalu remeh-temeh. Lebih mencari titik selisih dari titik sama... Sampai kapan??

0

Nukilan melodi hati....

Posted by ilham_syifa' on 5:46 AM
Lihatlah dunia dari jendela mata yang berbeda. Jangan menjadi buta dek kerakusan iman yang menggila. Pasti ada hikmah atas segala nukilan taqdir yang Esa.

Hari terus berlalu. Masa Berselisih....

Pelangi menemani tidak selamanya setia. Hadir guruh menyambar, terus mula kedengaran teriakan yang meluluh jiwa. Tangisan esakan yang meracuni minda. Jauh benar dari ketenangan. Yang ada cumalah gundah gelana.

Jiwa terus dihimpit kegelisahan. Hati pula terus menerus bersawang gundah. Kalbu parah dihiris resah. Itu rasa di kala hidup diserang dugaan dan ujian. Usah diulang kata, hidup ini penuh onak durinya ibarat hidup di tepian pantai pantas sahaja dilanda ombak tidak mengira masa. Malah, tanpa diduga.

Resah, gundah, entah berapa ribu perkataan lagi untuk digambarkan perasaan ini, tidak mungkin bisa diselami maksud sebenar ke dasarnya. Cukuplah hanya Allah yang Maha mengetahui.

"Ujian itu tarbiyah dari Allah..."

Itu kita sudah maklum! Sungguh sinonim benar kata-kata itu buat sanubari setiap hamba.

Namun, andai disuruh tafsir, tiada pemahaman yang jelas akannya, yang punya sejuta erti.

Kurang penghayatan akan erti sebenar yang cuba disampaikan.

Maka, hadirlah rungutan dan keluhan di saat ujian mendatang tiba.

Jadi, di sini biarlah saya berkata..

Kata-kata azimat itu hanya mampu diterjemah oleh insan bergelar MANUSIA..

Manusia yang berjiwa HAMBA..

Hamba yang punya SABAR..

Sabar dalam REDHA...

Ya, Redha!! Itu kuncinya..

Meskipun demikian,

Dicampaknya REDHA, hilangnya SABAR, melangkah lagak pemilik bumi dan alam semesta, pudarnya jiwa HAMBA, tidak pantas bergelar MANUSIA kerana sifat ketuhanan meraja dalam diri.

Ingin menjadi tuhan, walhal punya aqal sebatas cuma.

Takdir Allah cuba dipersoalkan. Menghakimi keadilan Allah. Seolah-olah mahu berlawan dengan perancangan Allah. Ingin berlawan menjadi TUHAN. Itu realitinya, walau agak keras bunyinya.

Lupa diri hanyalah seorang hamba. Alpa bahawa diri milik yang Esa.

Maka, lahirlah bait-bait sebegini,

"Ahhh.. kenapa aku pula diuji sebegini? "

"Hidup ini tak adil!!"

"Aku rasa mati lebih baik dari hidup..."

Kerana tiada REDHA mengiringi.

Kerana kurang sabar tatkala diterjah seribu masalah.

Kerana tidak lagi bernafas dalam jiwa hamba!

Suka sekali saya meminjam kata-kata Ibn Ata'illah yang cukup popular dengan Kitab Al-Hikamnya,

"We can be a great planner, but we're not able to be the greatest planner. Because, we can't compete with the God's plan. "

Kita sebagai hamba, sering sahaja mencari Allah di saat kita perlukan sesuatu. Di situ baru lahir rengetan memohon Allah kabulkan segala do'a kita. Di saat dilanda resah, menghakimi sifat adil Allah sedang diri tidak layak untuk berbuat demikian. Maka, bicara sukma tentang keadilan itu jangan sesekali dengan bicara kosong nir makna tapi biar kalbu terang disuluh cahaya.

Sedang dalam kegembiraan dan jauh dihimpit masalah, tidak pula mencari Allah. Jauh benar tersasar dalam kasih Allah.

Ada pula antara kita, tatkala ujian menjadi tetamu dalam hidupnya, semakin jauh dari Allah. Semakin kurang terasa kasih sayang Allah.

Mengapa begitu? Usahlah terlalu belagak, bak kata orang, ‘bodoh sombong’... Seolah-olah terasa cukup hebat untuk kendalikan segalanya tanpa bantuan Allah.

Andai lemah, carilah kekuatan dengan yang Maha Kuat.

Mengadu padanya, menangislah sepuasnya di atas tikar sejadah! Dia Maha Mengetahui!

Seorang sahabat pernah berkata,

“Tatkala hadir ujian dalam hidup, anda benar-benar beriman andai terasa kasih sayang Allah disalurkan melalui masalah itu”

Selain itu, mungkin untuk membuat kita benar-benar hargai nikmat Allah buat kita! Bayangkan, tatkala diri terus dihimpit dengan kegagalan demi kegagalan, kemudian Allah anugerahkan dengan kejayaan. Manis kan rasa kejayaan yang Allah hadiahkan?

Suka sekali saya menggunakan analogi ini,

Bayangkan Si A itu sudah pun makan dengan kenyangnya di rumah.

Si B pula masih dalam kelaparan yang amat sebab belum menjamah apa-apa.

Andainya saya menawarkan sepinggan nasi goreng USA kepada mereka, siapa agaknya yang benar-benar menghargai tawaran saya itu? Yang benar-benar rasa kesedapan nasi itu?

Pasti si B bukan?

Itulah juga buat kita. Tatkala hidup digerigi dengan masalah, dipalangi dengan dugaan, Allah memberi ruang buat kita agar menghargai nikmat kesenangan sebelum ini.

Sabarlah! Sabar atas Sabar. Sabar dalam redha! Yakin, yakin dan yakin dengan Allah!

Manusia yang berjiwa hamba selalunya perlu menghela nafas dalam jiwa hamba. Hamba yang punya aqal sebatas cuma, nukilan taqdir Allah tidak bisa dan begitu mudah untuk difahami malah untuk dinukilkan dengan hati sesedap rasa. Usah menandingi kehendak yang Esa.

Menagih pemahaman manusia, tidak semua bisa mengerti. Berbaliklah kepada Allah yang mampu memahami walau kita diam tiada bicara.

Lihat sahaja keteguhan Rasulullah! Dakwahnya hidup sepanjang zaman. Teguhnya perjuangan Baginda bak sekejap akar sumur digigi air, tidak meruntuhkan tebing kali walau bah segunung melanda!

Usah mengeluh tanpa makna. Buka mata, buka minda! Lihat dunia dengan jendela yang berbeda. Jangan pernah dituduh buta dek kerakusan iman yang menggila. Allah sentiasa memelukmu dengan mimpi-mimpi kamu. Ada hikmah menanti dalam nukilan taqdirNya.

Maka, saya yakin buat sahabat yang dihimpit gundah diserang resah, anda pasti bisa harunginya! Percaya dan Yakin dengan Allah! Itulah kata azimat yang sering saya tuturkan di kala sahabat meluah rasa dan masalah pada saya.

Ya Allah, terima kasih atas kekuatan ini! Terima kasih juga atas hadiah Mu buat ku pada kali ni. Moga-moga aku bisa melangkah sebagai pelajar tahun dua dengan lebih yakin hanya kerana kayakinan ku padaMu. Amin~

p/s : post ini dibuat dalam train dan disambung pula dalam flight kembali ke tanah air tatkala jiwa hanyut melayan mimpi-mimpi dalam sedar biar orang sekeliling jauh dalam nyenyak tidur mereka. Dan diedit setelah keputusan UNIS keluar! Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah! Gembira tak terkata! Sampai nak menangis rasa! =) Terima kasih ya Allah yang tidak jemu mendengar rengetan hati berbicara.

0

Merdekakah kita?

Posted by ilham_syifa' on 12:45 AM
Bebas umpama burung-burung berterbangan di udara. Inikah bebas?

“Ibarat sirih pulang ke gagang”

Itu perumpamaan khas buat pelajar yang menuntut ilmu di luar negara tatkala pulang ke tanah air tercinta. Hari ini genap sudah 3 hari saya berada di rumah yang selesa tiada tolok bandingannya. Cukup menceriakan melayan kerenah abang-abang dan adik-adik di rumah.

Menemani ummi saya ke bandaraya Kuala Lumpur untuk membeli peralatan untuk menyambut aidilfitri amat menyeronokkan, tetapi bukan itu yang saya mahu kongsikan.

Tatkala merayau-rayau di kota raya itu, saya melihat sekeliling. Fikiran saya jauh melayang hingga menembusi awan biru. Kadang-kadang saya beristighfar seketika melihat golongan muda mudi yang lingkungan umur sama seperti saya.

Melepak sana sini, berdua-duaan bersama kekasih hati, dan berpakaian yang amat menunjukkan tiada rasa malu dalam diri mereka. Seolah-olah hidup tidak bermatlamat, tiada misi untuk kehidupan abadi di syurga sana. Sudah sedia maklum, kisah buang bayi di sana sini amatlah parah di tanah air.

Saya yang masih kurang matang dalam menjalani kehidupan ini, yang punya pengalaman sedikit cuma, dan yang masih dangkal dalam menghadapi duri ranjau kehidupan ini, berusaha sehabisnya mencari punca! Atas sebab apa mereka berkelakuan sedemikian rupa.. Lagak saya seolah-olah orang sudah berumur sedangkan sebaya dengan mereka...

Hari ini genap 31 Ogos! Sebut sahaja tarikh ini, budak tadika sendiri bisa mengetahui tarikh kemerdekaan negara kita. Merdeka beerti bebas! Ya, Bebas! Saya kira itu sudah cukup memberi jawapan kepada persoalan di atas.

Adakah mereka di atas itu, mencari kebebasan? Mengembara erti sebenar untuk berasa bebas! Tidak sekali-kali terikat dengan sebarang peraturan atau etika walau melampaui had peradaban manusia bergelar ‘MUSLIM’

Tidak sedikit yang masih mencari-cari apa sebenarnya kebebasan itu.

Mungkinkah kebebasan itu seperti sinar matahari pagi yang menerpa kita setiap hari.

Atau seperti udara segar yang kita hirup setiap pagi.

Ataukah kebebasan seperti burung-burung yang terbang lepas di angkasa lepas.

Atau mungkinkah kebebasan itu sebuah ilusi yang hakikatnya nir makna?

Kita guguri dulu bebunga kata. Kita senyapi seketika melodi indah untuk jujur menikmati fakta nan sakti. Agar sama-sama kita menyelami masalah ini hingga ke akar umbi.

Di zaman moden, kebebasan sering difahami sebagai padanan kata ‘freedom’ mahupun ‘liberty’. Yakni keadaan di mana seorang manusia bebas dari dan untuk bertindak apapun. Ia bisa dibahagikan kepada kebebasan negatif mahupun positif.

Yang pertama dinamakan kebebasan negatif yang menampak segala bentuk aturan dan batasan agama, tata susila, hukum dan undang-undang bahkan pendidikan sebagai PERAMPAS KEBEBASAN.

Jenis kedua diistilahkan sebagai kebebasan positif, di mana setiap orang BOLEH menentukan sendiri apa yang hendak dia lakukan. Demikian kata Isaiah Berlin dalam Two Concept of Liberty.

Dari sudut pandangan seorang MUSLIM, kebebasan mengandungi tiga makna sekali gus.

PERTAMA, kebebasan itu identifik dengan ‘fitrah’, yakni tabiat dan kudrat asal manusia sebelum ia diubah, dicemari dan dirosak oleh sistem kehidupan sekelilingnya.

Seperti kata Nabi Muhammad SAW ‘kullu mawludin ‘ala fitrah’. Setiap orang dilahirkan bebas, sebagai makhluk dan hamba Allah yang suci bersih, bebas dari noda kufur, syirik dan sebagainya. Namun kemudian orang di sekitarnya mengubah keadaan tersebut sehingga dia berubah menjadi ingkar dan angkuh kepada Allah, menjadi tidak bebas lagi.

Maka orang yang bebas adalah orang yang hidup selaras dalam fitrahnya, kerana pada dasarnya roh setiap manusia itu telah bersaksi bahawa Allah adalah tuhannya. (Lihat surah Al-A’raf:172). Sebaliknya orang yang menyalahi fitrah dirinya sebagai abdi Allah sesungguhnya tidak bebas, kerana dia hidup dalam penjara nafsu dan belenggu syaitan.

Makna KEDUA dari kebebasan adalah daya atau kemampuan atau kehendak dan juga keinginan yang Allah berikan kepada kita untuk memilih jalan hidup masing-masing.

Apakah jalan yang lurus ataukah jalan yang bengkok?

Apakah jalan yang terjal mendaki ataukah jalan menurun yang licin menukik?

Apakah jalan para Nabi dan orang soleh ataukah jalan syaitan iblis dan mereka yang sesat?

Siapa yang mahu beriman, dipersilakan. Siapa yang mahu ingkar, pun dipersilakan. Ganjaran dan hukuman Allah menanti di akhirat sana.

Kebebasan di sini melambangkan kehendak, kemahuan dan keinginan diri sendiri. Bebasnya manusia beerti terpulang kepadanya mahu senang di dunia ataukah di akhirat?

Terserah kepadanya apakah mahu tunduk atau derhaka kepada Allah. Hendak mengabdi kepada Khaliq atau menjadi hamba kepada makhluk. Namun, sudah tentu, kebebasan tersebut bukan tanpa konsekuensi dan pertanggungjawaban!

KETIGA, kebebasan dalam ISLAM beerti ‘memilih yang baik’. Sebagaimana dijelaskan oleh Profesor Naquib Al-Attas dalam Prolegomena To The Metaphysics of Islam, sesuai akar katanya, ikhtiar mengkhendaki pilihan yang tepat dan baik akibatnya.

Maka orang yang memilih keburukan, kejahatan dan kekafiran itu sesungguhnya telah menyalahgunakan kebebasannya. Sebab pilihannya bukan sesuatu yang baik.

Di sini kita dapat mengerti mengapa dalam dunia peradaban manusia tidak dibiarkan bebas untuk membunuh manusia lain dan dengan sesuka hati melakukan kerosakan di muka bumi.

Maka, saya yang walau usia setahun jagung, masih jauh mengenal erti kematangan, dan masih juga bertatih dan terus bertatih, sesedap rasa cuba mencari punca kepada masalah anak mudi di negara kita.

Maafkan saya atas kebebasan saya bersuara mengenai hal ini. Maafkan saya andai belagak seolah-olah sudah dewasa. Maafkan saya.....

Semoga kita benar-benar bebas dari belenggu jahiliyyah yang terus mencengkam kita.

Harapnya kita mampu bebas dari pengaruh hawa nafsu yang terus merajai dalam diri kita.

Moga kita bisa saja bebas dari godaan syaitan yang tidak puas meracuni iman kita.

Biar kita bebas sebenar-benar BEBAS! Biar mencapai erti KEMERDEKAAN yang sebenar! Titik!

p/s : Post kali ini terlalu formal, berat dan panjang pula! Post di atas, dinukilkan melalui pembacaan seharian di MPH Mid Valley. Tidak mampu untuk membeli semuanya, cukup membaca pada part yang menarik! Prof Naquib Al-Attas, penulisan mu mampu mengusik jiwa, membuka seketika mata pada erti Islam sebenarnya walau kekadang sukar benar memahami penulisan mu dan juga menyedarkan saya bukan masih muda..

Tuesday, September 21, 2010

Friday, September 17, 2010

Saturday, September 4, 2010

Thursday, September 2, 2010

Wednesday, September 1, 2010

Copyright © 2009 ILHAM PENA All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive | Distributed by Deluxe Templates