0

Puisi hati...

Posted by ilham_syifa' on 10:47 PM
"Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah dan apabila mendapat kebaikan, dia amat kikir, kecuali orang yang mengerjakan solat"
[Al-Ma'arif : 19-22]

Hari ini, hati saya tersentuh dengan ayat cinta di atas. Benarlah, perhimpunan hati-hati yang berkumpul kerana Allah, maka fikiran terus menembusi mencari cinta Tuhan yang mungkin saya cicirkan entah di mana2. Itu hikmah di sebalik usrah yang kian menjadi rutin warga manipal kini. (Jangan sekadar menjadikan rutin, sehingga lupa objektif asalnya sendiri)

Terima kasih sahabat seusrah. Semalam, saya sempat ke Mangalore. Sejujurnya, 'last minute' saya membuat keputusan ini. Tujuan asal saya bukanlah untuk shopping seperti akhowat yang lain, bukan juga untuk makan seperti ikhwan yang lain, tetapi saya ingin mencari cinta agung yang kian dirampas akibat cinta pada dunia. Sempat saya bertemu sahabat seperjuangan yang kuat fikrahnya di KTT dulu, untuk membantu membimbing saya ke jalan Nya kembali. Berjam-jam perkongsian rasa di Sizzler's cukup membuatkan hati saya menangis. Bisikan hati merayu andai bisa diberi ruang untuk kembali berubah.

Betapa benar hati ini tersasar dari landasan keimanan yang kian rapuh hari demi hari. Tercalar dek ujian menimpa meski mehnah dan tribulasi pada asalnya untuk menguji iman buat yang bergelar 'abid. Sedar, iman yang senipis cuma benar-benar membuat jiwa terseksa ditambah kalbu diserang amuk rasa bersalah tiada kesudahan. Maka, saya perlu mencari jalan, untuk keluar dari belenggu ini.

Saya rindu di saat saya mula mengenali Islam sepenuhnya. Saya rindu di saat azam mula untuk berhijrah. Saya rindu rasa ingin masuk Islam itu secara keseluruhannya.

Tetapi, kini.. rasa itu kian hambar.. Mungkin diragut dengan cinta yang tidak sepatutnya. Dan kali ini, misi untuk berhijrah kembali kuat mencengkam di jiwa. Konsep 'Zero to Hero' perlu diaplikasikan. Saya perlu bermula dari A-Z kembali.

Insan semuanya akan berubah. Yang tidak berubah, hanyalah Allah. Namun, perubahan itu ke arah kebaikan ataupun sebaliknya. Kekadang wajah sebenar terpendam di sebalik topeng-topeng yang kita pakai. Kata-kata, rupa dan pakaian kerap kali menyelubungi jati diri kita yang sebenar. Namun, Allah maha Bijaksana menguji manusia.

Diuji dengan HARTA, terserlah siapa kita. Dipuji dengan NAMA, terhambur segala yang tersembunyi di dalam jiwa. Didatangi dengan MASALAH, teruji keyakinan pada Sang Pencipta. Benarlah kata orang tua, "semakin tinggi pokok yang kita panjat, semakin kuat pula angin yang bergoyang."

Entah kenapa malam ini, taman itu terasa lapang sekali. Tiada kesibukan, kurang pergerakan. Semua tetamu seakan berteleku kaku dalam zikir dan fikir. Seseketika bunyi dengus nafas dihela perlahan bersama rintihan. Ada suara esakan tangis, namun perlahan cuma. Bunyi rintihan yang tertahan bersama alunan bacaan Al-Quran bagai melodi yang sungguh mengasyikkan.

Mencuba masuk ke taman itu bagai sandera yang pasrah. Ku bawa hatiku yang rawan, fikiran yang kelelahan dan nafsu yang masih liar yang cuba dijinakkan dengan cinta kepadaMu. Ya Allah, izinkan kaki dan hati yang berdosa ini singgah seketika bagi menatap jalur-jalur cahaya dalam relung diri yang gelap gelita.

Benar kata Mu, "keampunanMu sentiasa mendahului murka-Mu".. Kucecah dahi di hamparan hijau itu. seakan ku tuang segala kabut dan serabut fikrah yang kusut. Sesah akal ini, Ya Allah. Fikrah sudah letih berlayar tanpa arah.

Cintaku sekelumit cuma, mungkin hampir tiada. Saat ini, aku hanya berbekal harapan. Ku ingat kembali kata-kata kekasihMu, "Kejahatan yang menyebabkan engkau menangis, lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur"

Dalam rasa malu, takut dan harap, masih lagi aku berani untuk meminta. Lalu, di malam ini, ku catatkan gugusan pemintaan. Satu demi satu melalui puisi hati.

Kubiarkan pena menari, mencari makna dan kata hanya berpandukan rasa. Malam itu, walaupun malu, aku tetap meminta syurgaMu pendahulu segala kata. Noktah.

p/s : Khas buat sahabat2 usrah yang juga ingin berubah!

0

Climb...

Posted by ilham_syifa' on 8:52 AM
Hari ini 18 disember!
Jam sudah menunjukkan 4.30 pagi.
Saya masih setia menghadap buku Microbiology. Mungkin akibat study last minute. Terpaksa bertahan mata tidak tidur malam itu.

Selepas 8 minit, tepat jam 4.38 a.m.
Ring tone muzik piano dari sebuah cerita jepun sayup2 kedengaran.

oh,
One message received!

Klik!

" Salam. Suka cita saya maklumkan adinda saya, Mas Afzal telah kembali ke rahmatullah. Sama2 lah kita mendoakan agar rohnya ditempatkan di kalangan para Solihin" - Mas Affendi

Innalillahiwainnalillahirojiun.. Jiwa saya tersentap seketika tatkala membaca mesej itu. Terus saya mengambil wudhuk, membaca surah Yassin buat arwah. Lagi2, jiwa saya sendiri agak kacau malam itu dengan study last minute saya itu. Mencari ketenangan dengan mendidik diri bernafas dalam jiwa hamba...

Bagi pelajar di UK, siapa tidak kenal mujahid sehebat Mas Afzal? Fikrahnya hebat, maka perjuangannya juga hebat! Pelajar Medic, tetapi mampu bergerak jauh. Jauh dari kemampuan pelajar perubatan. (Bagi pelajar medic, jauh lebih saya memahami had langkah2 kami dalam berjuang ini). Kata-kata nya memberangsangkan. Saya tidak kenal arwah secara individu tetapi saya mengenali beliau melalui alam maya. Sebelum saya ke India lagi saya sudah kenal arwah.

Quotenya berbunyi, "Kehadiranku tidak dirasai, pemergianku tidak ditangisi..." Tersentuh bukan?

Beliau sangatlah tabah! Kuat! bermotivasi! Berpemikiran jauh! Satu hal yang tidak mungkin saya nafikan, sukar mencari rijal sekental itu kini.

Tuntasnya, beliau seorang yang hebat!
Semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan para solihin! Amin~

0

Cinta dan cinta...

Posted by ilham_syifa' on 7:10 PM

"Pengorbanan adalah bukti kepada CINTA"

Itu tema yang saya sendiri cetuskan tika sambutan Aidiladha yang lalu bersama seorang teman yang tidak bisa disangkal, teruja jua dengan cinta.

HAMKA pernah berkata, "Manusia menjadi hebat dengan cinta". Apakah kami berusaha menjadi hebat dengan cinta? Namun, cinta menuju ketuhanan ataupun memuja manusia, itu kami sendiri perlu memilihnya.

Aidiladha adalah simbolik kisah cinta paling agung seorang insan, Nabi Ibrahim A.S. Demi cintanya kepada tuhan, anak yang dikasihi, Ismail A.S sanggup disembelih. Dan atas bukti cintanya itu, Allah menggantikan anak itu dengan seekor kibas.

Itu dasar cinta menuju kepada tuhannya. Tidak dapat tidak, lantas saya membedakan cinta yang kita genggami kini. oh.. tidak membawa kepada hakikat ketuhanan, itu yang pasti.. Memuja cinta manusia... Maka, ada perisai yang terlindung untuk ketemu dengan cinta yang hakiki. Sedang, ada cinta untuk menuju syurga, tapi kini kerana cinta, terhumban ke neraka.

Cinta dan kasih sayang itu menuntut pengorbanan.

Lihatlah para nabi dan rasul, rela diseksa, dicaci, dilempari najis, demi cinta kepada tuhannya. Demi cinta kepada umatnya yang tenggelam dalam kesesatan.

Lihatlah cinta seorang Nelson Mandela, rela dipenjara puluhan tahun untuk membebaskan kaumnya dari dasar Apertheid. Lihatlah Mother Theresa, yang mengabdikan dirinya demi anak2 yang dibuang oleh orang tuanya yang tidak bertanggungjawab. Dan lihatlah jua pemuda Palestina yang rela diseksa dan dibunuh demi masa depan bangsanya yang dirampas kebebasan.

Di luar sana, banyak yang menderita kesepian, kesulitan ekonomi, kelaparan, bencana alam, kurangnya kasih sayang, perhatian mahupun motivasi.

Jika kita masih punya cinta, berkorbanlah dalam segenap hal yang kita mampu.

Demi menjadikan kehidupan di dunia ini lebih baik.
Demi untuk melahirkan senyum dan bahagia buat orang banyak.
Supaya tiada lagi duka, derita, sengsara di mana-mana. Agar kita bisa bertemu dengan Tuhan dalam jiwa yang damai, hati yang tenteram.. Ya Allah..

Salurkan hidup pada erti memBERI. Walau memBERI dengan sidikit, namun bisa membuahkan senyum buat si penerima. Sehingga lahir rasa bahagia di saat memberi...

Maka, marilah renung-renungkan konsep pengorbanan, dari pelbagai sisi. Jangan hanya sekadar bernokhtahkan kisah penyembelihan Ismail A.S.

Setiap perkara ada sisi lain. Seperti selepas susah adanya senang. Seperti setiap ujian punya hikmahnya. Barangkali, ujian perlu dipandang sebagai tanda kemenangan. Kerana, selepas ujian, ada keimanan. Itu janji Al-Ankabut.

Dan, beginilah tarbiyah mengajarku.... Sabar atas sabar, sabar dalam redha.

Dan renungi seketika simbolik kisah sempena Aidiladha. Ambil ibrah dari kisah tersebut. Demi menjadi 'abid yang penuh rasa cinta kepada penciptanya...
Maka, jadilah anda seorang yang hebat!

"Pengorbanan adalah bukti kepada CINTA. Tiada Cinta tanpa pengorbanan.

Pengorbanan terbesar adalah atas dasar cinta kepada-Nya"

Sebelum terlambat, SALAM MAAL HIJRAH!
Hijrah, Hijrah, dan Hijrah...
Mari menjadi hambanya yang lebih baik dari hari ke hari.
Membentuk iman dalam diri.
Mutabah 'amal hari demi hari.

p/s : dah lama buat sebenarnya. Tapi tak post je sebab masih terfikir topik tentang cinta, cinta dan cinta.. Aih, jauhkan saya dengan cinta, boleh? Biar tenang jiwa, damai hati ini... Ya Allah, jagalah cinta ini biar hanya untuk yang layak ku hadiahkan.

Maaf lah, biar two in one. Maal hijrah dan Aidiladha. Semoga selamat semuanya, dalam redha Nya itu pinta saya..

maaf lah, kepada 'someone', saya berbicara tentang cinta lagi! =p

0

Tarian Indah perjuangan...

Posted by ilham_syifa' on 5:42 PM
Seharian saya berusaha menguruskan masa seproduktif yang mungkin. Tidak dapat tidak, kepenatan hadir menjengah..

Lalu, saya nekad untuk meluangkan masa menonton filem di samping melengkapkan Journal yang menimbun. Bukan mudah untuk saya meluangkan masa menonton filem. Dan filem pilihan harus yang membuatkan saya tidak rasa kesal dua jam lamanya di hadapan lap top.

V For Vendetta...

Ia sebuah filem revolusi.
Mesej, jalan cerita dan dialog sejujurnya sedikit sebanyak memberi impak dalam diri dan hidup saya. Dialognya cukup menusuk bisikan sukma bagi yang benar-benar menyelami isi tersiratnya.

Kematian V disambut dengan jutaan manusia turun ke jalanan - tanda solidariti. Mirip2 hadith Ghulam yang impaknya kelihatan setelah syahid.

‘A revolution without dancing is a revolution not worth having.’ (V)

Tuntasnya, saya mencari apa rahsia nya? Tamsilannya mudah; perlu IKHLAS dan matlamat harus JELAS. Itulah tarian indah dalam perjuangan...

‘There's no certainty, only oppurtunity..’

Mungkin, dalam sesetengah keadaan, hasil pemergian kita ialah peluang orang lain untuk berubah.

"STRENGTH through UNITY.

UNITY through FAITH."

[V for Vendetta]

Faith = Percaya = Beriman!

Itulah asas dalam Aqidah ISLAM. Renungi sejenak zaman Rasulullah, kalimah syahadah menjadi ikrar berimannya kepada yang Maha Esa dan percayanya Rasulullah sebagai pesuruhNya.

Atas dasar Faith ataupun kepercayaan itu tadi, terwujudnya Kesatuan ataupun UNITY. Kesatuan ummah atas beriman pada satu tali Aqidah.

Lalu, melalui kesatuan, lahirnya Kekuatan ataupun STRENGTH.

Maka, Kekuatan bisa dicapai bila kita bersatu. Bersatu atas nama Allah itu yang paling gah; dalam meletakkan kembali peradaban Islam di tempatnya.

Invasi Barat melemahkan peradaban Islam. Itu hakikatnya. Maka, mari kita renungi sebentar hakikat revolusi yang kita yakini.

‘That this country needs more than a building right now. And it needs hope.’

[V for Vendetta]

Oh Malaysiaku, YOU NEED HOPE!

“Tidak salah menonton Filem. Jadilah kreatif untuk kaitkan dengan hidup anda sebagai Muslim” – Someone

p/s : terima kasih kepada yang membekalkan filem ini kepada saya. Tak payah susah2 nak download! =)

2

It may take your 2 hours...

Posted by ilham_syifa' on 4:30 AM
But, their tears are forever...

It's not a religious issue, but it's about humanity..
Come and support us!

"Peace fOr Palestine (POP):
Humanity, Do We Care? "

POP, it may take your 2 hours, but their tears are FOREVER.....

1

Menanti Cuti..

Posted by ilham_syifa' on 11:55 AM
Mehnah- dugaan- Ujian- tribulasi...
Berat pada pemikiran sehingga lesu pada lahiriahnya.. Tergugah emosi yang sukar dimengerti oleh orang lain.

Menjadi Da'ie, mehnah bukan pada penentangan si kafir, mahupun penyeksaan jua penjaraan. Tapi pada jiwa yang tandus dalam semangat juang. Sehingga terasa ingin berehat mahupun keinginan untuk menjadi pasif.

Lalu, terjerumus pada lagha. Terbuka gerbang luas pada sifat bermain-main. Hilang atau tergelincir pada niat asal.

Mehnah Dai'e adalah pada sangkaan menanti cuti yang diharap menjadi miliknya. Daie yang pada sebenarnya, adalah yang tidak memiliki dirinya sehingga layak memberi cuti pada dirinya. Menjadi Da'ie dalam erti lainnya, dirinya dimiliki oleh dunia luar, oleh ummah yang menanti dirinya mengubah dunia, mengubah nafsu pahit kepada manis.

Maka, di sini saya tewas. Berhentilah sangkaan, anda perlu berehat...

0

Memandang jendela kepimpinan

Posted by ilham_syifa' on 1:23 PM

"Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu akan ditanya tentang apa yang kamu pimpin. Pemimpin akan ditanya mengenai hak rakyat yang dipimpinnya. Isteri menjaga hal rumah tangga akan ditanya hal yang dipimpinnya. Pelayan menjaga hak majikannya akan ditanya hal yang dipimpinnya. Kemu sekalian adalah pemimpin dan akan ditanya (diminta bertanggungjawab) terhadap kepimpinan kamu."

- Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim -

Apakah Najib Razak seorang pemimpin yang baik?? Hmmm.. Dari kisah Altantuya, sehingga isu ETP..

Saya masih mencari ruang untuk mengkhatamkan buku 360 Leader karya John Maxwell. Sesiapa dalam bidang kepimpinan, sudah pasti mengenali John Maxwell. Terlalu banyak buku karya beliau yang mendidik pemimpin untuk membuka mata tentang tanggungjawab dan kualiti yang harus ada pada pemimpin. Ini buku ketiga yang saya cuba hayati karya beliau, penuh pengharapan agar jiwa dihalusi untuk pastikan bait-bait yang disampaikan meresapi dalam diri. Tujuan hidup sebagai khalifah, menuntut saya mendidik diri menjadi khalifah terbaik. Khalifah yang bukan hanya pada diri sendiri, tetapi pada orang di sekeliling sehingga 'bermanfaat pada yang lainnya'. owh, bukan itu saya mahu kongsikan. Tetapi bagaimana sikap kita sebagai pemimpin, dan menjadi orang yang dipimpin?

Peminat Blog Faisal Tehrani pasti mengikuti perkembangan presiden Iran yang sungguh berani dan lantang bersuara. Bila Malaysia akan punya pemimpin sebegini?

Orang Yang Dipimpin :

Sistem demokrasi yang dibawa oleh Malaysia, satu sistem asal dari tamadun Yunani, kemudian menjadi ekstrem pada zaman pemerintahan Karl Marx dalam ideologi komunismenya (saya tidak mahu berkongsi tentangnya, terlalu panjang nanti dan bukan bidang kemahiran saya) Sistem ini memberi ruang untuk kita membuat langkah bijak dalam memilih pemimpin. Dari rakyat, untuk rakyat. tetapi sering kali disia-siakan mahasiswa kini.

Apakah kewajipan dalam memilih pemimpin itu bukan tanggungjawab kita? Apakah kita tidak akan diadili soal pemilihan pemimpin kelak? Saat pemimpin buat langkah agak tidak bijak, semua melenting, marah! Itu bagus! tetapi sebenarnya diri tidak menggunakan peluang yang ada untuk memilih pemimpin. Tepuk dada tanyalah diri.

Mahasiswa sering meletakkan pemikiran, biarlah politik diuruskan oleh golongan dewasa.

Mahasiswi pula lantas meletak tanggapan, politik itu bidang golongan lelaki.

Terlalu ramai yang masih dibelenggu dengan pemikiran, lepas tangan ataupun 'politik itu kotor'? oh, Sungguh lesu melihat, masih ramai mahasiswa melepaskan tangan... Membutakan mata untuk melihat...

John Maxwell mendefinisikan pemimpin dengan ekstrem, "pemimpin ialah setiap orang memandang kepadanya berupaya mencetus keinginan untuk menjadi sepertinya." (Pemimpin=Influence). Dan adakah Adolf Hitler leader yang baik? Apakah orang ikut kata nya kerana hormat mahupun takut?

Sebagai Pemimpin :

Menjadi pemimpin, ia bukan semudah yang disangka. Berapa ramai pemimpin yang lepas tangan tanggungjawab mereka. Pemimpin menuntut untuk sedia berkorban. Pergolakan dalam organisasi, dengan anak buah, itu lumrah.. Tetapi jangan pernah mengalah. Air mata kadang kala menjadi peneman. Ikhlaskan hati... Jangan buat kerana untuk menempah nama, glamour. Tetapi buatlah sebagai ALAT untuk mencapai MATLAMAT.. Matlamat apa? Untuk memartabatkan ISLAM di mata dunia. Dan saya, sila betulkan semula niat dan tanya pada hati, kenapa buat semua ini?

p/s : Warga muda mudi, wake up! Negara memerlukan kalian! Menyatakan pendirian anda tidak semestinya anda menyokong PEMBANGKANG. Anda sebenarnya menyokong jati diri anda... Dan saya mengaku, zaman bergelar pelajar sekolah, saya tidak suka politik kerana tanggapan politik menjadi punca negara kucar-kacir. Sekarang, saya sedar POLITIK adalah asas kepada sebuah tamadun..

*Kaku sungguh bahasa saya setelah lama tidak mengarang*

0

Bukan suatu kebetulan...

Posted by ilham_syifa' on 12:19 PM
Letakkan dunia di tapak tanganku agar ku genggam,
letakkan dunia di tapak kakiku biar ku pijak,
tapi jangan pernah letak di hatiku untuk dipuja mahupun dijunjung..
Kerana akhirat itu yang pasti!

Saya masih seorang pengembara. Mengembara dan sedang bertatih mengenal kehidupan. Di dalam kembara ini, ada masanya kita terasa semua tempat pergantungan telah dicantas. Talian bumi ke bumi telah putus. Tiada tempat merayu, tiada sesiapa untuk diadu. Menuntut pemahaman dari seorang bergelar manusia, hanya kekecewaan yang mengiringi.

Ketika itulah hati kecil berbicara, menghenyak ego yang selama ini bermaharajalela. Dan Alhamdulillah.. kita tidak letih untuk merintih. Tidak jemu untuk merayu. Kerana Dia bisa memahami walau cukup hati yang berbicara. Hati seolah-olah dibisikkan bahawa Allah itu dekat, dan lambaian kasihNya perlu dibalas.

Hakikat yang tiada perisai untuk dilindung, saya dan kalian masih terus mencari. Mencari ketenangan di tengah amukan resah dan gelisah yang ditakdirkan ada di sepanjang perjalanan hidup.

Buat kesilapan, kemudian tersedar lantas menyesal itu fitrah bagi hamba yang masih kenal penciptaNya. Itu jua yang dibahaskan oleh Ibn 'Attaillah dalam "The Book of Illumination". Siapa yang tidak pernah buat silap bukan? Saya teringat satu kata-kata, agak-agak lupa dari siapa.

"Kejahatan yang membuat engkau menangis lebih baik dari kebaikan yang membuat engkau takbur"

Kejahatan itu bukan satu kebetulan. Ia adalah satu kebiasaan yang terbentuk perlahan-lahan, tahap demi tahap.

PERTAMA kali berbuat dosa, hati akan diburu rasa bersalah. Jiwa resah kerana diri menentang fitrah. Kesalnya menjadi peneman di jiwa. Benarlah jua seperti yang diungkapkan,

"Apabila manusia berdosa, dia bukan sahaja menentang Allah tetapi juga menentang diri sendiri"

Namun, rasa berdosa itu tidak lama. Jika dosa yang sama itu dibuat kali kedua, ketiga dan seterusnya diulang kali.... rasa bersalah itu seolah-olah diragut sedikit demi sedikit. Lalu akhirnya, hati itu telah terbiasa dengan dosa. Rasa bersalah sudah tidak muncul lagi. Ia sirna dimamah oleh dosa demi dosa. Jika dulu ada air mata yang mengalir kerana kekesalan serta penyesalan tetapi kali ini tiada air mata lagi. Alah bisa, tegal biasa. Hati telah tega untuk berdosa.

Dosa itu racun yang disalut kemanisan. Dosa yang dilazimi tidak akan terhenti kesannya pada hati. Daripada tahap terbiasa dengan dosa, kederhakaan meningkat lebih parah lagi. Hadirlah tahap yang KETIGA, yakni seronok dan rasa indah dengan dosa. Dia sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukannya.

Rasa ketagih dengan maksiat, rasa gian dengan kemungkaran akan mencengkam hati dan diri. Racun dosa terasa nikmatnya. Tiada lagi rasa bersalah. Bisa dosa yang menjelma menjadi fatamorgana nikmat yang tiada taranya.

Nafsu tidak pernah puas. Kehendaknya tiada batas. Syaitan tidak pernah tidur. usahanya tidak pernah kendur. Lalu apabila syaitan meluncur laju di lebuh raya nafsu, diri yang seronok dengan dosa itu dirasuk untuk maju setapak lagi.

Itulah tahap KEEMPAT yang lebih dasyat dan sesat. Keseronokan dosa menjadikan si berdosa itu pembela dan pejuangnya. Dosa dipromosi dan dihiasi sebagai jalan kebenaran dan denai keindahan. Jangan ada pembela agama yang bercakap tentang akhirat dan kiamat.. pejuang dosa itu pun bangun menentangnya dengan seluruh upaya dan kudrat.

Berhati-hatilah dengan dosa. Jangan tertipu oleh kecil atau remehnya suatu kederhakaan. Tusukan dosa bukan seperti belati yang membunuh tiba-tiba, tetapi ia umpama api dalam sekam yang membara dalam diam. Keterlanjuran kali pertama usah disusuli oleh kesengajaan kali kedua. Kelak akan menyusul perancangan dan perjuangan atas nama dosa.

Wahai diri ku, ketika rasa bersalah singgah di dalam hati pada kali pertama kau berdosa, ketahuilah itu adalah peringatan yang ALLAH bekalkan secara tabii untuk menjaga fitrah insani. Itu petanda hatimu masih hidup. Penyesalan itu kan syarat taubat?

Wahai diri ku, biarlah diri jatuh bangun, merangkak tegak, dalam taubat demi taubat yang tidak 'menjadi' berbanding larian dosa yang maju dan laju tanpa henti-henti. Lebih baik terbentur, daripada patah. Lebih baik hatimu selalu terdera oleh rasa berdosa sepanjang hayat daripada tertipu oleh nikmatnya yang menyebabkan seksa di akhirat.

Izinkan ku ya Allah, untuk perbetulkan segalanya kembali! Kerana aku masih seorang hamba yang masih mengenal-Mu. Tenangkan jiwaku, kosongkan seketika mindaku.

Dan hilangkan pula perasaan dan rasa ini seketika. Hadir kan ia pada saat yang Kau izinkan sebaiknya..

p/s : bicara tentang dosa ini dibicarakan dengan cukup baik pada Friday Talk yang lepas. Terkesan di jiwa seketika.. Dan tahap keempat dosa di atas, seolah-olah sedang berlaku dalam isu Islamic Fashion Festival walaupun isu ini agak lambat saya ketahui disebabkan masalah lap top yang menghalang saya on9 seketika. Ada orang pertahankan ni betul??Ulama muda pula tu. Bila mana si pembuat dosa menjadi pembela! Allahu rabbi!

0

Kalam Ilmu Allah

Posted by ilham_syifa' on 10:56 AM

Ilmu itu cahaya daripada Allah,

Memancar keluar melahirkan amal,

Memancar ke dalam menzahirkan iman.

Bagai alam tanpa sinar mentari, gelap pekat hilanglah indah, sirnalah seri, begitulah hati tanpa ilmu, kontanglah ia daripada petunjuk ILAHI. Buta mata tanpa cahaya, buta hati tanpa ilmu.

“Ilmu itu cahaya, jahil itu kegelapan..”

Amal tanpa ilmu binasa. Si jahil akan derhaka dalam taat, tertipu dalam ibadat. Sedangkan orang berilmu dapat beribadat dalam tidurnya.

Bak kata Prof Dr. HAMKA,

“Mati jasad kerana tiada roh, mati roh kerana tiada ilmu, mati ilmu kerana tiada amal, mati amal kerana tiada ikhlas”

Ilmu adalah pelita hati, memancar cahayanya ke dalam menambah iman, memancar ke luar membuahkan amal. Ilmu itu penghias lidah. Orang berilmu bila bersuara, kata-katanya indah, penuh hikmah. Diamnya fikir, suaranya zikir.

Pencari ilmu bagaikan mujahid di medan jihad, tinta ulama setimbang darah syuhada. Jika pedang mujahid memancung kemungkaran dan kebatilan, pena ulama membanteras kejahilan!

Saidina Ali pernah berkata,

“Pena itu lebih tajam daripada mata pedang”

Si miskin menjadi mulia dengan ilmu, si kaya jatuh kerana ketandusan ilmu. Harta akan habis jika dibelanjakan tetapi ilmu semakin bertambah jika diamalkan.

Seseorang akan tetap menjadi alim selama dia terus menerus belajar. Apabila dia telah tertipu dalam sangkaan bahawa dia telah pandai, sedang hakikatnya dia adalah bodoh.

Setitis ilmu Allah adalah lautan pada kedangkalan otak manusia. Jika diraut pohon di seluruh benua, dijadikan tinta, tidak akan terdaya kita menulis kalam tuhan. Semakin dibincangkan, semakin dalam pengertian. Semakin dibongkar rahsia, semakin berliku misterinya.

Imam Syafie berkata,

“Semakin bertambah ilmuku, terasa semakin banyak yang aku tidak tahu...”

Burung-burung di awan, pasir-pasir di persisiran pantai dan di gurun yang gersang, ikan dan siput yang berjuta banyaknya, unggas yang menghuni rimba, turut serta mendoakan insan bergelar penuntut ilmu. Kerana langkahnya, menuju madrasah ilmu, ertinya menuju keredhaan Allah.

Imam Al-Ghazali pula berkata,

“Gunung ilmu adalah pendakian pertama seorang hamba menuju TUHANNYA..”

Tatkala menyingkap pula sejarah silam utusan-Nya, wahyu pertama diturunkan berbunyi,

“IQRA’...” yang membawa maksud, bacalah!

Tapi, mengapa wahyu menyuruh Rasulullah saw membaca sedangkan baginda seorang yang ummi (tidak tahu membaca)?

Hakikatnya, 'baca' di sini bukan bermaksud membaca apa yang bertulis, tetapi apa yang tidak bertulis. Perkara yang tidak bertulis adalah yang tersirat jauh lebih banyak, yang tidak semua manusia mampu 'membacanya'.

Maka, ayat lengkap wahyu tersebut ialah "اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ" yang bermaksud:

"Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan".

Jadi, ilmu yang kita ada semestinya perlu sampai kepada hakikat ketuhanan. Kalau belum, maka tidak sempurnalah ilmu itu.

Rasulullah S.A.W. telah bersabda :
العلم علمان : فعلم في القلب فذالك هو العلم النافع ؛ وعلم على السان فذالك حجة الله على ابن آدم

`Ilmu itu ada dua jenis : Ilmu yang ada dalam hati (disertakan amal), maka itulah yang bermanfaat; dan ilmu (yang hanya) berada di atas lidah (tanpa diamal), maka itulah ilmu (yang menjadi) hujjah Allah (untuk mendakwa kesalahan) terhadap anak Adam.’
- [Riwayat Ibnu Syaibah dan Al Khatib]

Kata Imam Ghazali RahimahulLah Ta’ala :

`Ilmu yang memberi manfaat itu ialah ilmu yang menambahkan perasaan takutmu kepada Allah;
(ilmu) yang menambahkan celik mata hatimu terhadap keaiban-keaiban dirimu;
(ilmu) yang menambahkan ibdahmu kepada Tuhanmu ‘Azza wa Jalla dengan sebab makrifatmu kepadaNya;
(ilmu) yang mengurangkan gemar kasihmu kepada dunia;
(ilmu) yang menambahkan gemar kasihmu kepada akhirat;
(ilmu) yang membukakan pandangan mata hatimu terhadap kebinasaan-kebinasaan segala amalmu sehingga kamu dapat memeliharakan dirimu daripadanya;
(ilmu) yang menampakkan kepada kamu segala perdayaan syaithan dan tipuannya’.
[Bidayatul Hidayah]

Maka, bacalah dengan nama tuhanMu yang menciptakan. Atas niat kerana Nya semata.

Bacalah dengan hati yang tawaduk, dengan rasa rendah diri akan keaiban-keaiban diri.

Ilmu umpama air yang bertakung yang hanya bertakung di tempat yang rendah.

Maka, selamat menuntut ilmu buat semua!

p/s : esok kembali ke india untuk melangkah ke tahun dua. Sedih? Seharusnya sedih tidak hadir tapi rindu itu harus dipimpinkan sekali andai menuntut ilmu benar kerana Allah. Semoga melangkah dengan azam, semangat dan kekuatan yang baru. Ma’attaufiq Wannajah, Ilham syifa’

0

Hari berganti hari...

Posted by ilham_syifa' on 1:18 PM
Apakah kita ingin terus menerus menjadi budak-budak? Ohh.. kita menjadi budak-budak terlalu lama...

Hari berganti hari.
Usia semakin bertambah. Tuntasnya, semakin dekat pada detik kematian yang sudah dicoretkan dalam nukilan takdir Ilahi. Anehnya, ketika beban semakin berat, tenaga dan upaya pula semakin sedikit.. Kita semakin penat. Apakah pecutan diri menuju takwa semakin goyah atau semakin gagah? Tepuk dada, tanyalah iman...

11 September!
Tarikh yang mudah diingati kerana satu sejarah terbesar dalam lipatan sejarah dunia apatah lagi melibatkan maruah Islam itu sendiri, maka tidak mustahil saya mendapat begitu banyak ucapan 'selamat hari jadi' dari teman-teman rapat melalui hp, facebook, emel, yahoo groups, ym dan skype.

Tika tepat jam 12 malam, saya mengembara dalam satu perjalanan yang sunyi. Terlalu sunyi, sehingga degup hati pun dapat dirasakan. Nafas dihela perlahan-lahan. Mencari makna pencapaian dan kejayaan. Apakah sudah dalam genggaman?

Kemudian, diselami peranan saya sebagai anak buat abah dan ummi, anak solehah kah saya? Sebagai adik dan kakak, apakah layanan saya pada keluarga penuh kasih sayang? Sebagai sahabat, adakah saya sentiasa bersama mereka dalam susah dan senang? Apakah saya membawa sekali hati-hati orang sekeliling mengembara menjejaki cinta hakiki? Biarlah jawapan dicari melalui persidangan dalam mahkamah hati ini...

Sudah lebih suku abad saya bernafas dan melangkah sebagai hamba di atas bumi milik Ilahi. Namun, persoalan apakah saya benar-benar menghela nafas dalam jiwa hamba kembali mencengkam di jiwa. Entah berapa kali langkah tersasar. Entah berjuta kali hati ni lalai dalam mematuhi aturan Ilahi. Entah beribu kali pula hati curang dalam mengejar cinta hakiki dan lebih terpandang cinta yang fana.

Meskipun begitu, selalu sahaja Allah memberi ruang untuk saya kembali mencari haluan yang haq. Kerap kali juga hati merintih atas segala dosa dan lemah dalam mentertibkan iman dalam diri. Pintu keampunanNya jauh lebih terbuka dari pintu kemurkaanNya. Maka, jangan menyerah untuk bertaubat dalam erti benar-benar taubat.

Hati tertusuk dengan kata-kata Saidina Ali,
"Manusia semua tidur, bila mati baru mereka terjaga"

Betapa kata-kata itu menusuk ke lubuk hati. Merobek-robek sisa kegembiran yang masih berbaki.

Berbicara tentang usia, jangan pernah sisihkan tentang kematangan. Kematangan semakin lama semakin diragut dalam kalangan remaja dan pemuda. Kematangan yang pudar bisa sahaja meragut nilai tanggungjawab dalam diri kita. Maka, ia bakal menggugat tampuk kepimpinan negara.

Teringat pula kata-kata Imam Al Ghazali,
"Jika ingin melihat masa depan negara, maka lihatlah remaja masa kini.."

Usah menuding pada mana-mana pihak, saya sendiri masih terasa 'manja' dan 'mengada-ngada' dalam lingkungan 'comfort zone' ini. Tatkala zaman beralih zaman, semakin jelas tanpa hijab menghalang, betapa nilai kematangan itu jauh dari diri remaja. Oh, tidak sekali-kali saya katakan saya cukup matang dalam menjalani kehidupan sebagai insan sudah mencecah 20-an ini. Jika itu kenyataan yang berlari dari bibir ini, pasti dicanggah oleh ahli keluarga dan teman rapat saya. Saya sendiri berusaha untuk mematangkan fikiran agar sedar bahawa tanggungjawab yang perlu digalasi menuntut kematangan dalam pemikiran dan pelakuan...

Mari kita meneliti sejarah agar sedar hakikat yang sebenarnya, agar tahu di mana letak duduk diri kita.

USAMAH BIN ZAID, diangkat menjadi general mengepalai tentera menentang Romawi ketika berusia 18 tahun. Menambah celik mata, pada usia 19 tahun, dia berjaya menewaskan Romawi.

SULTAN MUHAMMED AL FATEH, berjaya menewaskan Konstantinopel pada usia 23 tahun. Beliau diangkat menjadi sultan hanya ketika berusia belasan tahun.

HASAN AL BANNA, pada usia 23 tahun sudah boleh menubuhkan satu jemaah muslimin terbesar dalam sejarah dunia Islam dengan menubuhkan Ikhwanul Muslimin tatkala sedar betapa segala sosial semakin bermaharajalela bermula setelah kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyah.

UMAIR bin ABI WAQAS, anak muda yang punya keinginannya untuk mengikuti dalam pasukan tentera dalam Perang Badar namun dihalang oleh Rasulullah dan Saidina Abu Bakr kerana usianya yang masih muda.

Tatkala meneliti kisah di atas mujahid muda dengan sumbangan yang besar pada umat, kembali menikam diri dengan persoalan, matangkah saya?? Ahhh...Malu sendiri untuk dibandingkan...

Wallu'alam...

p/s : kepada sahabat di luar sana, yang sudah pun mencecah 21 tahun, jangan lupa tanggungjawab anda sebagai pengundi! Masa depan negara di tangan anda!

*Yeay, dah lama menanti untuk mendaftarkan diri sebagai pengundi! Tak sabar nak ada pilihan raya! *

0

Seindah Mawar Berduri...

Posted by ilham_syifa' on 7:27 AM
Biar dirimu
ibarat mawar berduri;
cantik anggun menawan hati,
Namun,
tetap terpelihara
dek duri yang memagari

Sesungguhnya kejadianmu terlalu indah tercipta sehingga manis madah berbicara tidak mungkin bisa mengungkapinya. Tercipta daripada tulang lelaki bergelar Adam yang bengkok untuk dilindungi dan disayangi, bukan dari kepala untuk dijunjung bahkan dipuja, bukannya diciptakan dari kaki untuk dipijak dan dijadikan hamba sahaya.

Lantaran daripada keindahan ciptaanmu itu, kau umpama sekuntum bunga yang harum aromanya bisa saja menarik si kumbang untuk terus mendekatimu. Apakah dengan murah dan semudah itu ingin kau menyerah diri pada sang kumbang??

Renungkanlah pada keindahan mawar yang unggul terjaga berpagar duri sebagai bentengnya. Dari kejauhan keharumannya mencuri perhatian, kilauan warnanya yang memancar penuh tarikan.

Namun, dek kerana pagaran duri yang berbisa, sang kumbang tertunduk kagum terhadap keindahan yang terjaga hinggakan ia berfikir bukan sekali bahkan berjuta kali sebelum mendekatinya.

Usah berselindung dari hakikat jelas tiada pelindung, hakikat kejadian dirimu menjadi pelemah keimanan lelaki. Tekunilah sejarah peradaban dunia, berapa ramai tokoh hebat mampu tewas hanya dengan godaan mawar ini.

Seandainya pakaian malu kau tinggalkan daripada selilit tubuhmu, dan perbatasan aurat kau dipandang sembarangan, jadilah kau hanya sekuntum bunga yang indah tetapi sayang tidak berduri. Lantas, jangan merengek andai mahkota ‘SI MAWAR BERDURI’ tidak layak menjadi milikmu.

Sesungguhnya utusan Allah ada mengatakan tentang bahaya dirimu.

“Tidak ada fitnah yang lebih besar setelah wafatku selain daripada fitnah yang berpunca daripada wanita”.

Adakah kau mahu menjadi penyebab terhadap terhumbannya lelaki ke neraka?

Ingatlah bahawa ciri-ciri wanita solehah ialah dia tidak melihat lelaki dan lelaki tidak melihatnya kecuali atas urusan yang diizinkan Wanita solehah itu tidak berbicara tentang lelaki malah lelaki tidak berbicara tentangnya. Ohhhh...Jauh sekali untuk mengejar gelaran solehah itu..

Sesuatu yang tertutup itu lebih indah dan berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah. Alangkah indahnya jika kau memelihara keindahan dirimu sebagai hadiah yang kudus, suci, mahal dan berharga buat kumbang terpilih yang dijanjikan Allah buatmu. Sesungguhnya wanita solehah pasti menjadi idaman setiap insan bernama ADAM!!!

“Allahu Allah, peganglah hati-hati kami kaum hawa yang lemah ini. Jangan mudah kami mengisi hati dengan cinta yang jelas bersuluh kepalsuannya. Tundukkan kami pada hanya yang kau taqdirkan layak buat kami. Andai tidak bisa bertemu di dunia fana ini, temukan kami di taman firdausimu. Ya Allah, sesungguhnya hati kami ini biarlah bertapak cinta terhadapMu dahulu. Bentukkan kami menjadi yang solehah, agar bisa menjadi penghias syurgamu dan menjadi bidadari indah pelengkap lelaki soleh di taman syurga indahMu. Amin....”

p/s : Tatkala hati nurani bergelar hawa berbicara di malam hari. Setulus peringatan buat diri moga selamanya berduri, peringatan juga buat semua yang bergelar HAWA moga sentiasa memagari duri di sekelilingmu.

Saturday, December 25, 2010

Friday, December 24, 2010

Climb...

Hari ini 18 disember!
Jam sudah menunjukkan 4.30 pagi.
Saya masih setia menghadap buku Microbiology. Mungkin akibat study last minute. Terpaksa bertahan mata tidak tidur malam itu.

Selepas 8 minit, tepat jam 4.38 a.m.
Ring tone muzik piano dari sebuah cerita jepun sayup2 kedengaran.

oh,
One message received!

Klik!

" Salam. Suka cita saya maklumkan adinda saya, Mas Afzal telah kembali ke rahmatullah. Sama2 lah kita mendoakan agar rohnya ditempatkan di kalangan para Solihin" - Mas Affendi

Innalillahiwainnalillahirojiun.. Jiwa saya tersentap seketika tatkala membaca mesej itu. Terus saya mengambil wudhuk, membaca surah Yassin buat arwah. Lagi2, jiwa saya sendiri agak kacau malam itu dengan study last minute saya itu. Mencari ketenangan dengan mendidik diri bernafas dalam jiwa hamba...

Bagi pelajar di UK, siapa tidak kenal mujahid sehebat Mas Afzal? Fikrahnya hebat, maka perjuangannya juga hebat! Pelajar Medic, tetapi mampu bergerak jauh. Jauh dari kemampuan pelajar perubatan. (Bagi pelajar medic, jauh lebih saya memahami had langkah2 kami dalam berjuang ini). Kata-kata nya memberangsangkan. Saya tidak kenal arwah secara individu tetapi saya mengenali beliau melalui alam maya. Sebelum saya ke India lagi saya sudah kenal arwah.

Quotenya berbunyi, "Kehadiranku tidak dirasai, pemergianku tidak ditangisi..." Tersentuh bukan?

Beliau sangatlah tabah! Kuat! bermotivasi! Berpemikiran jauh! Satu hal yang tidak mungkin saya nafikan, sukar mencari rijal sekental itu kini.

Tuntasnya, beliau seorang yang hebat!
Semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan para solihin! Amin~

Wednesday, December 8, 2010

Cinta dan cinta...

"Pengorbanan adalah bukti kepada CINTA"

Itu tema yang saya sendiri cetuskan tika sambutan Aidiladha yang lalu bersama seorang teman yang tidak bisa disangkal, teruja jua dengan cinta.

HAMKA pernah berkata, "Manusia menjadi hebat dengan cinta". Apakah kami berusaha menjadi hebat dengan cinta? Namun, cinta menuju ketuhanan ataupun memuja manusia, itu kami sendiri perlu memilihnya.

Aidiladha adalah simbolik kisah cinta paling agung seorang insan, Nabi Ibrahim A.S. Demi cintanya kepada tuhan, anak yang dikasihi, Ismail A.S sanggup disembelih. Dan atas bukti cintanya itu, Allah menggantikan anak itu dengan seekor kibas.

Itu dasar cinta menuju kepada tuhannya. Tidak dapat tidak, lantas saya membedakan cinta yang kita genggami kini. oh.. tidak membawa kepada hakikat ketuhanan, itu yang pasti.. Memuja cinta manusia... Maka, ada perisai yang terlindung untuk ketemu dengan cinta yang hakiki. Sedang, ada cinta untuk menuju syurga, tapi kini kerana cinta, terhumban ke neraka.

Cinta dan kasih sayang itu menuntut pengorbanan.

Lihatlah para nabi dan rasul, rela diseksa, dicaci, dilempari najis, demi cinta kepada tuhannya. Demi cinta kepada umatnya yang tenggelam dalam kesesatan.

Lihatlah cinta seorang Nelson Mandela, rela dipenjara puluhan tahun untuk membebaskan kaumnya dari dasar Apertheid. Lihatlah Mother Theresa, yang mengabdikan dirinya demi anak2 yang dibuang oleh orang tuanya yang tidak bertanggungjawab. Dan lihatlah jua pemuda Palestina yang rela diseksa dan dibunuh demi masa depan bangsanya yang dirampas kebebasan.

Di luar sana, banyak yang menderita kesepian, kesulitan ekonomi, kelaparan, bencana alam, kurangnya kasih sayang, perhatian mahupun motivasi.

Jika kita masih punya cinta, berkorbanlah dalam segenap hal yang kita mampu.

Demi menjadikan kehidupan di dunia ini lebih baik.
Demi untuk melahirkan senyum dan bahagia buat orang banyak.
Supaya tiada lagi duka, derita, sengsara di mana-mana. Agar kita bisa bertemu dengan Tuhan dalam jiwa yang damai, hati yang tenteram.. Ya Allah..

Salurkan hidup pada erti memBERI. Walau memBERI dengan sidikit, namun bisa membuahkan senyum buat si penerima. Sehingga lahir rasa bahagia di saat memberi...

Maka, marilah renung-renungkan konsep pengorbanan, dari pelbagai sisi. Jangan hanya sekadar bernokhtahkan kisah penyembelihan Ismail A.S.

Setiap perkara ada sisi lain. Seperti selepas susah adanya senang. Seperti setiap ujian punya hikmahnya. Barangkali, ujian perlu dipandang sebagai tanda kemenangan. Kerana, selepas ujian, ada keimanan. Itu janji Al-Ankabut.

Dan, beginilah tarbiyah mengajarku.... Sabar atas sabar, sabar dalam redha.

Dan renungi seketika simbolik kisah sempena Aidiladha. Ambil ibrah dari kisah tersebut. Demi menjadi 'abid yang penuh rasa cinta kepada penciptanya...
Maka, jadilah anda seorang yang hebat!

"Pengorbanan adalah bukti kepada CINTA. Tiada Cinta tanpa pengorbanan.

Pengorbanan terbesar adalah atas dasar cinta kepada-Nya"

Sebelum terlambat, SALAM MAAL HIJRAH!
Hijrah, Hijrah, dan Hijrah...
Mari menjadi hambanya yang lebih baik dari hari ke hari.
Membentuk iman dalam diri.
Mutabah 'amal hari demi hari.

p/s : dah lama buat sebenarnya. Tapi tak post je sebab masih terfikir topik tentang cinta, cinta dan cinta.. Aih, jauhkan saya dengan cinta, boleh? Biar tenang jiwa, damai hati ini... Ya Allah, jagalah cinta ini biar hanya untuk yang layak ku hadiahkan.

Maaf lah, biar two in one. Maal hijrah dan Aidiladha. Semoga selamat semuanya, dalam redha Nya itu pinta saya..

maaf lah, kepada 'someone', saya berbicara tentang cinta lagi! =p

Saturday, December 4, 2010

Tarian Indah perjuangan...

Seharian saya berusaha menguruskan masa seproduktif yang mungkin. Tidak dapat tidak, kepenatan hadir menjengah..

Lalu, saya nekad untuk meluangkan masa menonton filem di samping melengkapkan Journal yang menimbun. Bukan mudah untuk saya meluangkan masa menonton filem. Dan filem pilihan harus yang membuatkan saya tidak rasa kesal dua jam lamanya di hadapan lap top.

V For Vendetta...

Ia sebuah filem revolusi.
Mesej, jalan cerita dan dialog sejujurnya sedikit sebanyak memberi impak dalam diri dan hidup saya. Dialognya cukup menusuk bisikan sukma bagi yang benar-benar menyelami isi tersiratnya.

Kematian V disambut dengan jutaan manusia turun ke jalanan - tanda solidariti. Mirip2 hadith Ghulam yang impaknya kelihatan setelah syahid.

‘A revolution without dancing is a revolution not worth having.’ (V)

Tuntasnya, saya mencari apa rahsia nya? Tamsilannya mudah; perlu IKHLAS dan matlamat harus JELAS. Itulah tarian indah dalam perjuangan...

‘There's no certainty, only oppurtunity..’

Mungkin, dalam sesetengah keadaan, hasil pemergian kita ialah peluang orang lain untuk berubah.

"STRENGTH through UNITY.

UNITY through FAITH."

[V for Vendetta]

Faith = Percaya = Beriman!

Itulah asas dalam Aqidah ISLAM. Renungi sejenak zaman Rasulullah, kalimah syahadah menjadi ikrar berimannya kepada yang Maha Esa dan percayanya Rasulullah sebagai pesuruhNya.

Atas dasar Faith ataupun kepercayaan itu tadi, terwujudnya Kesatuan ataupun UNITY. Kesatuan ummah atas beriman pada satu tali Aqidah.

Lalu, melalui kesatuan, lahirnya Kekuatan ataupun STRENGTH.

Maka, Kekuatan bisa dicapai bila kita bersatu. Bersatu atas nama Allah itu yang paling gah; dalam meletakkan kembali peradaban Islam di tempatnya.

Invasi Barat melemahkan peradaban Islam. Itu hakikatnya. Maka, mari kita renungi sebentar hakikat revolusi yang kita yakini.

‘That this country needs more than a building right now. And it needs hope.’

[V for Vendetta]

Oh Malaysiaku, YOU NEED HOPE!

“Tidak salah menonton Filem. Jadilah kreatif untuk kaitkan dengan hidup anda sebagai Muslim” – Someone

p/s : terima kasih kepada yang membekalkan filem ini kepada saya. Tak payah susah2 nak download! =)

Sunday, November 28, 2010

It may take your 2 hours...

But, their tears are forever...

It's not a religious issue, but it's about humanity..
Come and support us!

"Peace fOr Palestine (POP):
Humanity, Do We Care? "

POP, it may take your 2 hours, but their tears are FOREVER.....

Friday, November 26, 2010

Menanti Cuti..

Mehnah- dugaan- Ujian- tribulasi...
Berat pada pemikiran sehingga lesu pada lahiriahnya.. Tergugah emosi yang sukar dimengerti oleh orang lain.

Menjadi Da'ie, mehnah bukan pada penentangan si kafir, mahupun penyeksaan jua penjaraan. Tapi pada jiwa yang tandus dalam semangat juang. Sehingga terasa ingin berehat mahupun keinginan untuk menjadi pasif.

Lalu, terjerumus pada lagha. Terbuka gerbang luas pada sifat bermain-main. Hilang atau tergelincir pada niat asal.

Mehnah Dai'e adalah pada sangkaan menanti cuti yang diharap menjadi miliknya. Daie yang pada sebenarnya, adalah yang tidak memiliki dirinya sehingga layak memberi cuti pada dirinya. Menjadi Da'ie dalam erti lainnya, dirinya dimiliki oleh dunia luar, oleh ummah yang menanti dirinya mengubah dunia, mengubah nafsu pahit kepada manis.

Maka, di sini saya tewas. Berhentilah sangkaan, anda perlu berehat...

Sunday, November 14, 2010

Memandang jendela kepimpinan

"Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu akan ditanya tentang apa yang kamu pimpin. Pemimpin akan ditanya mengenai hak rakyat yang dipimpinnya. Isteri menjaga hal rumah tangga akan ditanya hal yang dipimpinnya. Pelayan menjaga hak majikannya akan ditanya hal yang dipimpinnya. Kemu sekalian adalah pemimpin dan akan ditanya (diminta bertanggungjawab) terhadap kepimpinan kamu."

- Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim -

Apakah Najib Razak seorang pemimpin yang baik?? Hmmm.. Dari kisah Altantuya, sehingga isu ETP..

Saya masih mencari ruang untuk mengkhatamkan buku 360 Leader karya John Maxwell. Sesiapa dalam bidang kepimpinan, sudah pasti mengenali John Maxwell. Terlalu banyak buku karya beliau yang mendidik pemimpin untuk membuka mata tentang tanggungjawab dan kualiti yang harus ada pada pemimpin. Ini buku ketiga yang saya cuba hayati karya beliau, penuh pengharapan agar jiwa dihalusi untuk pastikan bait-bait yang disampaikan meresapi dalam diri. Tujuan hidup sebagai khalifah, menuntut saya mendidik diri menjadi khalifah terbaik. Khalifah yang bukan hanya pada diri sendiri, tetapi pada orang di sekeliling sehingga 'bermanfaat pada yang lainnya'. owh, bukan itu saya mahu kongsikan. Tetapi bagaimana sikap kita sebagai pemimpin, dan menjadi orang yang dipimpin?

Peminat Blog Faisal Tehrani pasti mengikuti perkembangan presiden Iran yang sungguh berani dan lantang bersuara. Bila Malaysia akan punya pemimpin sebegini?

Orang Yang Dipimpin :

Sistem demokrasi yang dibawa oleh Malaysia, satu sistem asal dari tamadun Yunani, kemudian menjadi ekstrem pada zaman pemerintahan Karl Marx dalam ideologi komunismenya (saya tidak mahu berkongsi tentangnya, terlalu panjang nanti dan bukan bidang kemahiran saya) Sistem ini memberi ruang untuk kita membuat langkah bijak dalam memilih pemimpin. Dari rakyat, untuk rakyat. tetapi sering kali disia-siakan mahasiswa kini.

Apakah kewajipan dalam memilih pemimpin itu bukan tanggungjawab kita? Apakah kita tidak akan diadili soal pemilihan pemimpin kelak? Saat pemimpin buat langkah agak tidak bijak, semua melenting, marah! Itu bagus! tetapi sebenarnya diri tidak menggunakan peluang yang ada untuk memilih pemimpin. Tepuk dada tanyalah diri.

Mahasiswa sering meletakkan pemikiran, biarlah politik diuruskan oleh golongan dewasa.

Mahasiswi pula lantas meletak tanggapan, politik itu bidang golongan lelaki.

Terlalu ramai yang masih dibelenggu dengan pemikiran, lepas tangan ataupun 'politik itu kotor'? oh, Sungguh lesu melihat, masih ramai mahasiswa melepaskan tangan... Membutakan mata untuk melihat...

John Maxwell mendefinisikan pemimpin dengan ekstrem, "pemimpin ialah setiap orang memandang kepadanya berupaya mencetus keinginan untuk menjadi sepertinya." (Pemimpin=Influence). Dan adakah Adolf Hitler leader yang baik? Apakah orang ikut kata nya kerana hormat mahupun takut?

Sebagai Pemimpin :

Menjadi pemimpin, ia bukan semudah yang disangka. Berapa ramai pemimpin yang lepas tangan tanggungjawab mereka. Pemimpin menuntut untuk sedia berkorban. Pergolakan dalam organisasi, dengan anak buah, itu lumrah.. Tetapi jangan pernah mengalah. Air mata kadang kala menjadi peneman. Ikhlaskan hati... Jangan buat kerana untuk menempah nama, glamour. Tetapi buatlah sebagai ALAT untuk mencapai MATLAMAT.. Matlamat apa? Untuk memartabatkan ISLAM di mata dunia. Dan saya, sila betulkan semula niat dan tanya pada hati, kenapa buat semua ini?

p/s : Warga muda mudi, wake up! Negara memerlukan kalian! Menyatakan pendirian anda tidak semestinya anda menyokong PEMBANGKANG. Anda sebenarnya menyokong jati diri anda... Dan saya mengaku, zaman bergelar pelajar sekolah, saya tidak suka politik kerana tanggapan politik menjadi punca negara kucar-kacir. Sekarang, saya sedar POLITIK adalah asas kepada sebuah tamadun..

*Kaku sungguh bahasa saya setelah lama tidak mengarang*

Saturday, October 23, 2010

Bukan suatu kebetulan...

Letakkan dunia di tapak tanganku agar ku genggam,
letakkan dunia di tapak kakiku biar ku pijak,
tapi jangan pernah letak di hatiku untuk dipuja mahupun dijunjung..
Kerana akhirat itu yang pasti!

Saya masih seorang pengembara. Mengembara dan sedang bertatih mengenal kehidupan. Di dalam kembara ini, ada masanya kita terasa semua tempat pergantungan telah dicantas. Talian bumi ke bumi telah putus. Tiada tempat merayu, tiada sesiapa untuk diadu. Menuntut pemahaman dari seorang bergelar manusia, hanya kekecewaan yang mengiringi.

Ketika itulah hati kecil berbicara, menghenyak ego yang selama ini bermaharajalela. Dan Alhamdulillah.. kita tidak letih untuk merintih. Tidak jemu untuk merayu. Kerana Dia bisa memahami walau cukup hati yang berbicara. Hati seolah-olah dibisikkan bahawa Allah itu dekat, dan lambaian kasihNya perlu dibalas.

Hakikat yang tiada perisai untuk dilindung, saya dan kalian masih terus mencari. Mencari ketenangan di tengah amukan resah dan gelisah yang ditakdirkan ada di sepanjang perjalanan hidup.

Buat kesilapan, kemudian tersedar lantas menyesal itu fitrah bagi hamba yang masih kenal penciptaNya. Itu jua yang dibahaskan oleh Ibn 'Attaillah dalam "The Book of Illumination". Siapa yang tidak pernah buat silap bukan? Saya teringat satu kata-kata, agak-agak lupa dari siapa.

"Kejahatan yang membuat engkau menangis lebih baik dari kebaikan yang membuat engkau takbur"

Kejahatan itu bukan satu kebetulan. Ia adalah satu kebiasaan yang terbentuk perlahan-lahan, tahap demi tahap.

PERTAMA kali berbuat dosa, hati akan diburu rasa bersalah. Jiwa resah kerana diri menentang fitrah. Kesalnya menjadi peneman di jiwa. Benarlah jua seperti yang diungkapkan,

"Apabila manusia berdosa, dia bukan sahaja menentang Allah tetapi juga menentang diri sendiri"

Namun, rasa berdosa itu tidak lama. Jika dosa yang sama itu dibuat kali kedua, ketiga dan seterusnya diulang kali.... rasa bersalah itu seolah-olah diragut sedikit demi sedikit. Lalu akhirnya, hati itu telah terbiasa dengan dosa. Rasa bersalah sudah tidak muncul lagi. Ia sirna dimamah oleh dosa demi dosa. Jika dulu ada air mata yang mengalir kerana kekesalan serta penyesalan tetapi kali ini tiada air mata lagi. Alah bisa, tegal biasa. Hati telah tega untuk berdosa.

Dosa itu racun yang disalut kemanisan. Dosa yang dilazimi tidak akan terhenti kesannya pada hati. Daripada tahap terbiasa dengan dosa, kederhakaan meningkat lebih parah lagi. Hadirlah tahap yang KETIGA, yakni seronok dan rasa indah dengan dosa. Dia sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukannya.

Rasa ketagih dengan maksiat, rasa gian dengan kemungkaran akan mencengkam hati dan diri. Racun dosa terasa nikmatnya. Tiada lagi rasa bersalah. Bisa dosa yang menjelma menjadi fatamorgana nikmat yang tiada taranya.

Nafsu tidak pernah puas. Kehendaknya tiada batas. Syaitan tidak pernah tidur. usahanya tidak pernah kendur. Lalu apabila syaitan meluncur laju di lebuh raya nafsu, diri yang seronok dengan dosa itu dirasuk untuk maju setapak lagi.

Itulah tahap KEEMPAT yang lebih dasyat dan sesat. Keseronokan dosa menjadikan si berdosa itu pembela dan pejuangnya. Dosa dipromosi dan dihiasi sebagai jalan kebenaran dan denai keindahan. Jangan ada pembela agama yang bercakap tentang akhirat dan kiamat.. pejuang dosa itu pun bangun menentangnya dengan seluruh upaya dan kudrat.

Berhati-hatilah dengan dosa. Jangan tertipu oleh kecil atau remehnya suatu kederhakaan. Tusukan dosa bukan seperti belati yang membunuh tiba-tiba, tetapi ia umpama api dalam sekam yang membara dalam diam. Keterlanjuran kali pertama usah disusuli oleh kesengajaan kali kedua. Kelak akan menyusul perancangan dan perjuangan atas nama dosa.

Wahai diri ku, ketika rasa bersalah singgah di dalam hati pada kali pertama kau berdosa, ketahuilah itu adalah peringatan yang ALLAH bekalkan secara tabii untuk menjaga fitrah insani. Itu petanda hatimu masih hidup. Penyesalan itu kan syarat taubat?

Wahai diri ku, biarlah diri jatuh bangun, merangkak tegak, dalam taubat demi taubat yang tidak 'menjadi' berbanding larian dosa yang maju dan laju tanpa henti-henti. Lebih baik terbentur, daripada patah. Lebih baik hatimu selalu terdera oleh rasa berdosa sepanjang hayat daripada tertipu oleh nikmatnya yang menyebabkan seksa di akhirat.

Izinkan ku ya Allah, untuk perbetulkan segalanya kembali! Kerana aku masih seorang hamba yang masih mengenal-Mu. Tenangkan jiwaku, kosongkan seketika mindaku.

Dan hilangkan pula perasaan dan rasa ini seketika. Hadir kan ia pada saat yang Kau izinkan sebaiknya..

p/s : bicara tentang dosa ini dibicarakan dengan cukup baik pada Friday Talk yang lepas. Terkesan di jiwa seketika.. Dan tahap keempat dosa di atas, seolah-olah sedang berlaku dalam isu Islamic Fashion Festival walaupun isu ini agak lambat saya ketahui disebabkan masalah lap top yang menghalang saya on9 seketika. Ada orang pertahankan ni betul??Ulama muda pula tu. Bila mana si pembuat dosa menjadi pembela! Allahu rabbi!

Tuesday, September 21, 2010

Kalam Ilmu Allah

Ilmu itu cahaya daripada Allah,

Memancar keluar melahirkan amal,

Memancar ke dalam menzahirkan iman.

Bagai alam tanpa sinar mentari, gelap pekat hilanglah indah, sirnalah seri, begitulah hati tanpa ilmu, kontanglah ia daripada petunjuk ILAHI. Buta mata tanpa cahaya, buta hati tanpa ilmu.

“Ilmu itu cahaya, jahil itu kegelapan..”

Amal tanpa ilmu binasa. Si jahil akan derhaka dalam taat, tertipu dalam ibadat. Sedangkan orang berilmu dapat beribadat dalam tidurnya.

Bak kata Prof Dr. HAMKA,

“Mati jasad kerana tiada roh, mati roh kerana tiada ilmu, mati ilmu kerana tiada amal, mati amal kerana tiada ikhlas”

Ilmu adalah pelita hati, memancar cahayanya ke dalam menambah iman, memancar ke luar membuahkan amal. Ilmu itu penghias lidah. Orang berilmu bila bersuara, kata-katanya indah, penuh hikmah. Diamnya fikir, suaranya zikir.

Pencari ilmu bagaikan mujahid di medan jihad, tinta ulama setimbang darah syuhada. Jika pedang mujahid memancung kemungkaran dan kebatilan, pena ulama membanteras kejahilan!

Saidina Ali pernah berkata,

“Pena itu lebih tajam daripada mata pedang”

Si miskin menjadi mulia dengan ilmu, si kaya jatuh kerana ketandusan ilmu. Harta akan habis jika dibelanjakan tetapi ilmu semakin bertambah jika diamalkan.

Seseorang akan tetap menjadi alim selama dia terus menerus belajar. Apabila dia telah tertipu dalam sangkaan bahawa dia telah pandai, sedang hakikatnya dia adalah bodoh.

Setitis ilmu Allah adalah lautan pada kedangkalan otak manusia. Jika diraut pohon di seluruh benua, dijadikan tinta, tidak akan terdaya kita menulis kalam tuhan. Semakin dibincangkan, semakin dalam pengertian. Semakin dibongkar rahsia, semakin berliku misterinya.

Imam Syafie berkata,

“Semakin bertambah ilmuku, terasa semakin banyak yang aku tidak tahu...”

Burung-burung di awan, pasir-pasir di persisiran pantai dan di gurun yang gersang, ikan dan siput yang berjuta banyaknya, unggas yang menghuni rimba, turut serta mendoakan insan bergelar penuntut ilmu. Kerana langkahnya, menuju madrasah ilmu, ertinya menuju keredhaan Allah.

Imam Al-Ghazali pula berkata,

“Gunung ilmu adalah pendakian pertama seorang hamba menuju TUHANNYA..”

Tatkala menyingkap pula sejarah silam utusan-Nya, wahyu pertama diturunkan berbunyi,

“IQRA’...” yang membawa maksud, bacalah!

Tapi, mengapa wahyu menyuruh Rasulullah saw membaca sedangkan baginda seorang yang ummi (tidak tahu membaca)?

Hakikatnya, 'baca' di sini bukan bermaksud membaca apa yang bertulis, tetapi apa yang tidak bertulis. Perkara yang tidak bertulis adalah yang tersirat jauh lebih banyak, yang tidak semua manusia mampu 'membacanya'.

Maka, ayat lengkap wahyu tersebut ialah "اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ" yang bermaksud:

"Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan".

Jadi, ilmu yang kita ada semestinya perlu sampai kepada hakikat ketuhanan. Kalau belum, maka tidak sempurnalah ilmu itu.

Rasulullah S.A.W. telah bersabda :
العلم علمان : فعلم في القلب فذالك هو العلم النافع ؛ وعلم على السان فذالك حجة الله على ابن آدم

`Ilmu itu ada dua jenis : Ilmu yang ada dalam hati (disertakan amal), maka itulah yang bermanfaat; dan ilmu (yang hanya) berada di atas lidah (tanpa diamal), maka itulah ilmu (yang menjadi) hujjah Allah (untuk mendakwa kesalahan) terhadap anak Adam.’
- [Riwayat Ibnu Syaibah dan Al Khatib]

Kata Imam Ghazali RahimahulLah Ta’ala :

`Ilmu yang memberi manfaat itu ialah ilmu yang menambahkan perasaan takutmu kepada Allah;
(ilmu) yang menambahkan celik mata hatimu terhadap keaiban-keaiban dirimu;
(ilmu) yang menambahkan ibdahmu kepada Tuhanmu ‘Azza wa Jalla dengan sebab makrifatmu kepadaNya;
(ilmu) yang mengurangkan gemar kasihmu kepada dunia;
(ilmu) yang menambahkan gemar kasihmu kepada akhirat;
(ilmu) yang membukakan pandangan mata hatimu terhadap kebinasaan-kebinasaan segala amalmu sehingga kamu dapat memeliharakan dirimu daripadanya;
(ilmu) yang menampakkan kepada kamu segala perdayaan syaithan dan tipuannya’.
[Bidayatul Hidayah]

Maka, bacalah dengan nama tuhanMu yang menciptakan. Atas niat kerana Nya semata.

Bacalah dengan hati yang tawaduk, dengan rasa rendah diri akan keaiban-keaiban diri.

Ilmu umpama air yang bertakung yang hanya bertakung di tempat yang rendah.

Maka, selamat menuntut ilmu buat semua!

p/s : esok kembali ke india untuk melangkah ke tahun dua. Sedih? Seharusnya sedih tidak hadir tapi rindu itu harus dipimpinkan sekali andai menuntut ilmu benar kerana Allah. Semoga melangkah dengan azam, semangat dan kekuatan yang baru. Ma’attaufiq Wannajah, Ilham syifa’

Friday, September 17, 2010

Hari berganti hari...

Apakah kita ingin terus menerus menjadi budak-budak? Ohh.. kita menjadi budak-budak terlalu lama...

Hari berganti hari.
Usia semakin bertambah. Tuntasnya, semakin dekat pada detik kematian yang sudah dicoretkan dalam nukilan takdir Ilahi. Anehnya, ketika beban semakin berat, tenaga dan upaya pula semakin sedikit.. Kita semakin penat. Apakah pecutan diri menuju takwa semakin goyah atau semakin gagah? Tepuk dada, tanyalah iman...

11 September!
Tarikh yang mudah diingati kerana satu sejarah terbesar dalam lipatan sejarah dunia apatah lagi melibatkan maruah Islam itu sendiri, maka tidak mustahil saya mendapat begitu banyak ucapan 'selamat hari jadi' dari teman-teman rapat melalui hp, facebook, emel, yahoo groups, ym dan skype.

Tika tepat jam 12 malam, saya mengembara dalam satu perjalanan yang sunyi. Terlalu sunyi, sehingga degup hati pun dapat dirasakan. Nafas dihela perlahan-lahan. Mencari makna pencapaian dan kejayaan. Apakah sudah dalam genggaman?

Kemudian, diselami peranan saya sebagai anak buat abah dan ummi, anak solehah kah saya? Sebagai adik dan kakak, apakah layanan saya pada keluarga penuh kasih sayang? Sebagai sahabat, adakah saya sentiasa bersama mereka dalam susah dan senang? Apakah saya membawa sekali hati-hati orang sekeliling mengembara menjejaki cinta hakiki? Biarlah jawapan dicari melalui persidangan dalam mahkamah hati ini...

Sudah lebih suku abad saya bernafas dan melangkah sebagai hamba di atas bumi milik Ilahi. Namun, persoalan apakah saya benar-benar menghela nafas dalam jiwa hamba kembali mencengkam di jiwa. Entah berapa kali langkah tersasar. Entah berjuta kali hati ni lalai dalam mematuhi aturan Ilahi. Entah beribu kali pula hati curang dalam mengejar cinta hakiki dan lebih terpandang cinta yang fana.

Meskipun begitu, selalu sahaja Allah memberi ruang untuk saya kembali mencari haluan yang haq. Kerap kali juga hati merintih atas segala dosa dan lemah dalam mentertibkan iman dalam diri. Pintu keampunanNya jauh lebih terbuka dari pintu kemurkaanNya. Maka, jangan menyerah untuk bertaubat dalam erti benar-benar taubat.

Hati tertusuk dengan kata-kata Saidina Ali,
"Manusia semua tidur, bila mati baru mereka terjaga"

Betapa kata-kata itu menusuk ke lubuk hati. Merobek-robek sisa kegembiran yang masih berbaki.

Berbicara tentang usia, jangan pernah sisihkan tentang kematangan. Kematangan semakin lama semakin diragut dalam kalangan remaja dan pemuda. Kematangan yang pudar bisa sahaja meragut nilai tanggungjawab dalam diri kita. Maka, ia bakal menggugat tampuk kepimpinan negara.

Teringat pula kata-kata Imam Al Ghazali,
"Jika ingin melihat masa depan negara, maka lihatlah remaja masa kini.."

Usah menuding pada mana-mana pihak, saya sendiri masih terasa 'manja' dan 'mengada-ngada' dalam lingkungan 'comfort zone' ini. Tatkala zaman beralih zaman, semakin jelas tanpa hijab menghalang, betapa nilai kematangan itu jauh dari diri remaja. Oh, tidak sekali-kali saya katakan saya cukup matang dalam menjalani kehidupan sebagai insan sudah mencecah 20-an ini. Jika itu kenyataan yang berlari dari bibir ini, pasti dicanggah oleh ahli keluarga dan teman rapat saya. Saya sendiri berusaha untuk mematangkan fikiran agar sedar bahawa tanggungjawab yang perlu digalasi menuntut kematangan dalam pemikiran dan pelakuan...

Mari kita meneliti sejarah agar sedar hakikat yang sebenarnya, agar tahu di mana letak duduk diri kita.

USAMAH BIN ZAID, diangkat menjadi general mengepalai tentera menentang Romawi ketika berusia 18 tahun. Menambah celik mata, pada usia 19 tahun, dia berjaya menewaskan Romawi.

SULTAN MUHAMMED AL FATEH, berjaya menewaskan Konstantinopel pada usia 23 tahun. Beliau diangkat menjadi sultan hanya ketika berusia belasan tahun.

HASAN AL BANNA, pada usia 23 tahun sudah boleh menubuhkan satu jemaah muslimin terbesar dalam sejarah dunia Islam dengan menubuhkan Ikhwanul Muslimin tatkala sedar betapa segala sosial semakin bermaharajalela bermula setelah kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyah.

UMAIR bin ABI WAQAS, anak muda yang punya keinginannya untuk mengikuti dalam pasukan tentera dalam Perang Badar namun dihalang oleh Rasulullah dan Saidina Abu Bakr kerana usianya yang masih muda.

Tatkala meneliti kisah di atas mujahid muda dengan sumbangan yang besar pada umat, kembali menikam diri dengan persoalan, matangkah saya?? Ahhh...Malu sendiri untuk dibandingkan...

Wallu'alam...

p/s : kepada sahabat di luar sana, yang sudah pun mencecah 21 tahun, jangan lupa tanggungjawab anda sebagai pengundi! Masa depan negara di tangan anda!

*Yeay, dah lama menanti untuk mendaftarkan diri sebagai pengundi! Tak sabar nak ada pilihan raya! *

Saturday, September 4, 2010

Seindah Mawar Berduri...

Biar dirimu
ibarat mawar berduri;
cantik anggun menawan hati,
Namun,
tetap terpelihara
dek duri yang memagari

Sesungguhnya kejadianmu terlalu indah tercipta sehingga manis madah berbicara tidak mungkin bisa mengungkapinya. Tercipta daripada tulang lelaki bergelar Adam yang bengkok untuk dilindungi dan disayangi, bukan dari kepala untuk dijunjung bahkan dipuja, bukannya diciptakan dari kaki untuk dipijak dan dijadikan hamba sahaya.

Lantaran daripada keindahan ciptaanmu itu, kau umpama sekuntum bunga yang harum aromanya bisa saja menarik si kumbang untuk terus mendekatimu. Apakah dengan murah dan semudah itu ingin kau menyerah diri pada sang kumbang??

Renungkanlah pada keindahan mawar yang unggul terjaga berpagar duri sebagai bentengnya. Dari kejauhan keharumannya mencuri perhatian, kilauan warnanya yang memancar penuh tarikan.

Namun, dek kerana pagaran duri yang berbisa, sang kumbang tertunduk kagum terhadap keindahan yang terjaga hinggakan ia berfikir bukan sekali bahkan berjuta kali sebelum mendekatinya.

Usah berselindung dari hakikat jelas tiada pelindung, hakikat kejadian dirimu menjadi pelemah keimanan lelaki. Tekunilah sejarah peradaban dunia, berapa ramai tokoh hebat mampu tewas hanya dengan godaan mawar ini.

Seandainya pakaian malu kau tinggalkan daripada selilit tubuhmu, dan perbatasan aurat kau dipandang sembarangan, jadilah kau hanya sekuntum bunga yang indah tetapi sayang tidak berduri. Lantas, jangan merengek andai mahkota ‘SI MAWAR BERDURI’ tidak layak menjadi milikmu.

Sesungguhnya utusan Allah ada mengatakan tentang bahaya dirimu.

“Tidak ada fitnah yang lebih besar setelah wafatku selain daripada fitnah yang berpunca daripada wanita”.

Adakah kau mahu menjadi penyebab terhadap terhumbannya lelaki ke neraka?

Ingatlah bahawa ciri-ciri wanita solehah ialah dia tidak melihat lelaki dan lelaki tidak melihatnya kecuali atas urusan yang diizinkan Wanita solehah itu tidak berbicara tentang lelaki malah lelaki tidak berbicara tentangnya. Ohhhh...Jauh sekali untuk mengejar gelaran solehah itu..

Sesuatu yang tertutup itu lebih indah dan berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah. Alangkah indahnya jika kau memelihara keindahan dirimu sebagai hadiah yang kudus, suci, mahal dan berharga buat kumbang terpilih yang dijanjikan Allah buatmu. Sesungguhnya wanita solehah pasti menjadi idaman setiap insan bernama ADAM!!!

“Allahu Allah, peganglah hati-hati kami kaum hawa yang lemah ini. Jangan mudah kami mengisi hati dengan cinta yang jelas bersuluh kepalsuannya. Tundukkan kami pada hanya yang kau taqdirkan layak buat kami. Andai tidak bisa bertemu di dunia fana ini, temukan kami di taman firdausimu. Ya Allah, sesungguhnya hati kami ini biarlah bertapak cinta terhadapMu dahulu. Bentukkan kami menjadi yang solehah, agar bisa menjadi penghias syurgamu dan menjadi bidadari indah pelengkap lelaki soleh di taman syurga indahMu. Amin....”

p/s : Tatkala hati nurani bergelar hawa berbicara di malam hari. Setulus peringatan buat diri moga selamanya berduri, peringatan juga buat semua yang bergelar HAWA moga sentiasa memagari duri di sekelilingmu.

Copyright © 2009 ILHAM PENA All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive | Distributed by Deluxe Templates